Michael Bay lelong kenderaan Transformers Optimus Prime RM4.9 juta

Ana Ghoib Syeikh Malaya 12:01 PG

Trak Optimus Prime yang digunakan dalam filem Transformers, Age of Extinction berjaya dilelong pada harga mencecah RM 4.9 juta. -  Gambar Getty Images

Pengarah filem Transformers, Michael Bay melelong dua buah kenderaan yang digunakan dalam filem blokbuster itu, Optimus Prime dan Bumblebee pada harga mencecah 1 juta pound (RM6 juta) dalam jualan lelong di Scottdale, di sini.

Optimus Prime yang merupakan lori jenis Peterbilt 1979 yang telah diubah suai, dibeli oleh pemilik kumpulan kereta lumba NASCAR, Rick Hendrick pada harga 834,310 pound (RM5 juta), manakala Bumblebee, kereta model Camaro SS, dijual pada harga 115,286 pound (RM694,258) kepada seorang lagi pembida.

Menurut portal MailOnline, kedua-dua kenderaan yang merupakan jenis Autobots daripada Transformers itu digunakan semasa pembikinan filem Age of Extinction pada 2014 yang dibintangi Mark Wahlberg, Nicola Pelts, Kelsey Grammer dan Stanley Tucci.

Dalam jualan lelong yang sama, Hendrick yang merupakan penggemar dan pengumpul kereta turut membeli kereta berprestasi tinggi hibrid, Acura NSX 2017 yang pertama pada harga 827,415 pound (RM4.9 juta).

Hendrick telahpun memiliki kereta Camaro 2010 model VIN NO. 001, Camaro 2011, Corvette 2014 dan Corvette 2015 dan beberapa kenderaan lain.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Barret-Jackson, Craig Jackson iaitu syarikat yang mengendalikan jualan lelong tersebut menyifatkan jualan lelong berkenaan sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Semua hasil lelong itu akan disalurkan kepada badan amal yang ditubuhkan penyanyi, Zac Brown iaitu Yayasan Kebajikan Pediatrik Tumor Otak dan Camp Southern Ground. - Agensi