BERLIN - JERMAN: Seorang lelaki dihukum penjara 14 tahun hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya yang mengandung kerana tidak mahu menjadi ayah.
Menurut laporan IB Times, kejadian yang berlaku pada tahun lepas menyaksikan Maria Peiner, 19 dibakar hidup-hidup oleh Eren Toben, 20 dan rakan subahat, Daniel Mueller, 20.
Eren mengaku kepada mahkamah bahawa beliau menipu Maria yang mengandung lapan bulan untuk membawanya pergi membeli barangan bayi pada hari kejadian.
Sebaliknya, Maria dibawa ke sebuah hutan dan ditikam dengan sebuah pisau oleh Eren dan dibakar.
Mayat Maria yang telah rentung ditemui oleh seorang pejalan kaki keesokan harinya.
Hakim, Regina Alex memberitahu bahawa Maria kemungkinan besar masih bernyawa selama 10 hingga 30 saat ketika dibakar.
"Eren menganggap pembunuhan sebagai jalan keluar. Beliau mempergunakan kenaifan Maria dan membunuh mangsa," kata Regina.
Sementara itu, ahli keluarga Maria yang ditemui selepas perbicaraan memberitahu bahawa mereka berpuas hati dengan hukuman tersebut.