Aplikasi Doctor2U sedia menghantar doktor bertauliah ke rumah anda dalam masa sejam bagi pesakit di bandar utama negara.
Doctor2U, aplikasi penjagaan kesihatan Uber mudah alih yang membolehkan pesakit mudah mendapatkan doktor untuk rawatan perubatan di rumah telah diakses oleh lebih 12,000 pengguna sejak dilancarkan pada Oktober tahun lepas.
Pengasas aplikasi dan naib presiden IT BP Healthcare Group, Garvy Beh berkata aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh syarikat itu boleh diakses oleh sesiapa sahaja bagi mendapatkan seorang doktor rakyat Malaysia yang bertauliah datang ke rumah melalui peranti mudah alih iPhone dan Android, dalam tempoh 60 minit.
“Kami telah merekodkan 12,000 pengguna aplikasi ini sehingga hari ini sejak pelancarannya pada awal Oktober tahun lepas dengan 10 hingga 12 transaksi dicatatkan setiap hari.
“Hanya dengan menekan butang pada telefon bimbit, perkhidmatan kesihatan disediakan sehingga ke halaman rumah anda,” kata beliau kepada Bernama selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran BP Healthcare Group, dekat sini hari ini.
Aplikasi Doctor2U menghendaki pesakit mengemukakan permintaan dengan maklumat mengenai apa isu-isu atau tanda-tanda perubatan dan selepas itu, doktor yang berada dalam lingkungan jarak 20 km akan dihubungi.
[ads-post]
Doktor yang memilih untuk menjawab panggilan itu kemudian akan dimaklumkan mengenai lokasi dan maklumat mengenai pesakit.
Garvy Beh berkata, pada masa ini terdapat 250 doktor di bawah panel mereka, termasuk pakar kanak-kanak dan pakar kardiologi untuk menyediakan perkhidmatan 24 jam kepada pesakit melalui aplikasi di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor.
Pengguna boleh mendapatkan khidmat Doctor2U dengan caj yang dikenakan pada kadar tetap sebanyak RM250 dari (8 pagi hingga 8 malam) dan RM420 (8 malam hingga 8 pagi) bagi setiap permintaan. — Bernama