Suaram mendedahkan surat OKT atau Orang Kena Tahan di bawah SOSMA yang mendakwa didera penyiasat polis - Gambar Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR: Di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, ada kisah tahanan diseksa, didera dan dibogelkan. Mereka dipaksa merangkak seperti anjing mengutip gelang getah yang ditaburkan ke lantai dengan mulut.
Begitu satu daripada pelbagai kisah yang dikongsi tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) melalui surat yang dihantar kepada peguam masing-masing.
Surat itu didedahkan ke pengetahuan umum oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) di satu sidang media, di sini, hari ini.
“Saya dipaksa melancap di depan mereka (polis),” tulis seorang tahanan, mengatakan bahawa dia telah dipaksa untuk menonton video lucah di telefon bimbit polis. “Mereka (polis) juga paksa saya jatuhkan talak keatas isteri.”
“Kemudian, mereka (polis) ancam untuk merampas bayi kami dari isteri saya, dan menghantarnya ke Kemboja untuk dijadikan pelacur.”
Farida Mohammad, peguam yang mewakili beberapa tahanan berkata, menurut surat itu beberapa suspek dipaksa menipu dalam kenyataan masing-masing, supaya karangan kenyataan itu mengikut kehendak polis.
“Di dalam satu surat, tahanan menceritakan dia dipaksa berdiri dalam keadaan separuh mencangkung sambil polis mencatat keterangannya. Dia akan dipukul sekiranya keterangan tidak sama dengan teori yang dikarang polis.
“Dia menambah mereka (polis) paksa dia dan tahanan lain berciuman. Polis akan tonton dan mentertawakan mereka. Tindakan polis itu menyebabkan dia malu yang amat sangat.”
Sepucuk surat lagi menceritakan tertuduh diugut isterinya yang mengandung serta ahli keluarganya akan ditahan kecuali jika dia beri keterangan yang menepati kehendak polis.
“Mereka (tahanan) semua telah didakwa di mahkamah meskipun perbicaraan belum bermula. Mereka (tahanan) dijanjikan sekiranya mengaku bersalah, polis akan pastikan mereka (tahanan) dilepaskan daripada pusat tahanan secepat mungkin.
“Ini bererti pendorong (inducement) dalam bentuk ugutan atau janji yang sepatutnya tidak boleh diterima di mahkamah,” kata Farida.
KLIK SINI LIHAT VIDEO DAKWAAN SUARAM
Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnan, yang turut hadir di sidang media itu menggesa Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar supaya menyiasat dakwaan itu, kerana anggota polis sepatutnya profesional dalam menjalankan tugas.
“Polis harus berbeza daripada mafia, bukan bertindak serupa atas nama penguatkuasaan undang-undang,” katanya. - FMT