Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yakin Barisan Nasional masih saluran terbaik untuk UMNO maju ke hadapan. - Gambar FMT
Khairy tidak menolak usul supaya UMNO membuka pintu kepada orang bukan Melayu namun Khairy berkata keyakinan itu berdasarkan jaminan perwakilan sama rata untuk semua etnik negara ini dalam perikatan Barisan Nasional.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang kepada UMNO supaya membuka keahlian parti itu kepada orang bukan Melayu.
“Dalam UMNO, kita bekerja dalam perikatan Barisan Nasional. Semua diwakili dan kita bertanding dalam setiap pilihan raya umum sebagai BN, bukan sebagai UMNO.
“Meskipun kita merupakan perikatan parti politik, kita juga merupakan parti politik BN yang berdaftar.
“Kita merasakan bahawa BN masih model terbaik untuk kita bergerak ke hadapan,” katanya dalam sidang media CIMB Asean Stock Challenge yang diadakan di Bursa Malaysia, di sini, hari ini.
Khairy menegaskan UMNO suka bekerjasama dengan sekutu dalam perikatan itu dan menambah, “Di pihak UMNO, kita berasa sukacita untuk bekerja bersama rakan perikatan yang mewakili pelbagai etnik di Malaysia, dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak.”
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak berkata UMNO tidak perlu membuka keahlian kepada orang bukan Melayu kerana model BN bererti setiap parti dibenarkan mengekalkan identiti etnik masing-masing.