Zukepli (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Rohana dan anak-anaknya semasa berkunjung ke rumah keluarga itu. - Gambar Sinar Harian
PASIR MAS - Setiap kali melihat kanak-kanak berpakaian seragam sekolah lengkap, tanpa sedar air matanya akan mengalir lantaran terlalu merindukan dua anak lelakinya yang kini berada di Terengganu.
Namun, ibu tunggal kepada empat anak, Rohana Mustafa, 30, tiada pilihan selain hanya mampu memendam rasa rindu yang sarat di dalam dada.
Kesempitan hidup memaksa Rohana berpisah dengan dua anaknya, Wan Mohd Fadhli Wan Helmi, 13, dan Wan Mohd Fahmi, 10.
"Saya tak mampu lagi menyara mereka terutama bila memikirkan pendidikan mereka. Saya pujuk hati untuk melepaskan mereka dua beradik supaya boleh bersekolah di bawah jagaan keluarga bekas mertua saya," katanya.
Rohana memberitahu, dia telah berpisah dengan suaminya sejak enam tahun lalu dan membesarkan Wan Mohd Fadhli, Wan Mohd Fahmi, Wan Nor Alia, 8, serta Wan Mohd Faizal, 6, dengan pendapatan RM20 sehari sebagai pembantu kedai.
Menurutnya, pada tahun ini, keempat-empat anaknya bersekolah dan dia memerlukan wang lebih untuk menyediakan kelengkapan persekolahan mereka berserta yuran, namun pendapatannya hanya cukup untuk perbelanjaan harian sahaja.
"Sepanjang menjadi ibu tunggal, saya tak pernah dapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepertimana ibu tunggal lain. Saya tak tahu macam mana nak mohon.
"Setiap kali hari raya, saya fikir bagaimana nak isi perut anak-anak dan memastikan mereka dapat ke sekolah seperti kanak-kanak lain," katanya ketika menerima kunjungan Yayasan Amal Datuk Zul Wisma ke rumahnya, di Kampung Jakar, di sini.
Rohana kini mendiami sebuah rumah kecil tanpa bilik serta dapur yang dibina secara ala kadar oleh adik-beradiknya dengan kos RM5,000 hasil simpanan ibu tunggal itu.
Katanya, disebabkan rumah itu tiada tandas, dia dan anak-anak terpaksa tumpang membuang air di rumah adik-beradiknya yang terletak lebih kurang 30 meter dari kediamannya.
"Apa pun saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami ada tempat berteduh. Saya nak tumpang adik-adik pun tak boleh sebab mereka juga hidup susah macam kami," katanya.
Yayasan Datuk Zul Wisma memberi perhatian terhadap kesempitan hidup ibu tunggal itu bersama anak-anaknya dan tampil menghulurkan bantuan RM500 bagi meringankan beban mereka.
Pengerusinya, Datuk Dr Zulkepli Mohamed berkata, yayasan berkenaan akan cuba membantu keluarga itu dengan mengemukakan permohonan kepada pihak atasan bagi membolehkan Rohana dan anak-anaknya mendapat pembelaan sewajarnya.
"Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, keluarga ini wajar diberikan bantuan demi masa depan anak-anak Rohana," katanya. - Sinar Harian
Info sumber untuk menderma hubungi meja editor Sinar Harian Kelantan: http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/terpaksa-berpisah-dengan-anak-1.470038