Fenomena El Nino ‘kuat’ ekoran hujan kurang di Malaysia

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:35 PG

Intensiti hujan negara dijangka berkurangan antara 20% hingga 60% bermula bulan ini, ekoran fenomena El Nino sedang melanda Malaysia pada masa ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Datuk Che Gayah Ismail berkata tahap El Nino kini dikategorikan sebagai "kuat" dan dijangka suhu negara meningkat antara 0.5 dan 2 darjah celsius.

Beliau berkata impak El Nino yang kuat itu akan berterusan sehingga April dengan negeri-negeri di utara Semenanjung sudah mula menerima kesan fenomena itu.

Impak El Nino kuat ini akan turut dirasai semua negeri di Semenanjung, Sabah serta Bahagian Miri dan Limbang di Sarawak menjelang hujung bulan ini, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Kalau kita lihat rekod, suhu maksimum negara semasa dilanda El Nino pernah mencecah 40.1 celsius pada 1998.

"Oleh itu pihak kami tidak menolak kemungkinan situasi yang sama bakal berulang," katanya.

El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap 2 hingga 4 tahun di timur Lautan Pasifik.

Ia boleh menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia dan antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan, sementara di kawasan lain, berlaku kemarau berpanjangan.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan pada Disember 2015 menyatakan fenomena El Nino yang sedang melanda seluruh dunia, yang bermula sederhana dan setempat di Pasifik pada akhir 2015, kini meningkat meliputi sebahagian besar Asia dan Pasifik.

Fenomena itu juga mendatangkan kesan besar seperti di tengah dan selatan India, tengah dan timur laut Thailand, tengah dan selatan Filipina, utara Kemboja, timur Indonesia, Papua New Guinea dan kebanyakan negara kepulauan Pafisik.

Dalam pada itu, Che Gayah berkata intensiti fenomena El Nino dijangka mencapai kemuncak pada bulan ini, dan seterusnya beransur lemah mulai Februari, dan keadaan dijangka menjadi neutral selepas Jun 2016. – Bernama