'Pisahkan Pejabat Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara’

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:10 PG

Kedudukan Pejabat Pendakwa Raya yang berada di bawah Jabatan Peguam Negara kini menyaksikan konflik kepentingan, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Pada satu pihak, Peguam Negara sepatutnya bertindak demi kepentingan awam dalam membuat keputusan untuk mendakwa kes-kes jenayah tetapi pada pihak lain, beliau juga adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan.

Ini, kata Ketua Eksekutif, Ideas, Wan Saiful Wan Jan, mewujudkan konflik kepentingan dalam kes-kes membabitkan kakitangan kerajaan.

Beliau mengulas keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang tidak mengenakan dakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi sebaliknya mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup kes siasatan itu.

"Keputusan ini bukannya satu kejutan yang amat besar," kata Wan Saiful.

"Isu utama di sini adalah bahawa Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya yang disatukan itu kini menyaksikan konflik kepentingan," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Eksekutif, Ideas, Wan Saiful Wan Jan - Gambar FMT
Wan Saiful menegaskan bahawa tanpa pembaharuan ke atas Jabatan Peguam Negara, usaha untuk meningkatkan kualiti siasatan SPRM dengan bebas langsung tidak akan berguna.

"Kuasa Peguam Negara merangkumi segala-galanya.

"Kita perlu segera memperkenalkan satu mekanisme semak dan imbang untuk sesiapa sahaja daripada (memiliki) apa-apa kuasa yang luas itu.

"Kita mesti pisahkan Pejabat Peguam Negara dengan Pejabat Pendakwa Raya," katanya lapor Malaysiakini.