Satu bungkusan beg plastik hitam diletakkan di atas pam tandas yang hendak digunakan membawa kepada penemuan beberapa butir bom tangan.- Foto Twitter @bombaJBPM
SEBERANG PERAI - Rasa curiga dan ingin tahu seorang lelaki ketika hendak membuang air di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim, Bukit Mertajam, menjadi mimpi ngeri apabila ternampak satu bungkusan beg plastik hitam diletakkan di atas pam tandas yang hendak digunakan membawa kepada penemuan beberapa butir bom tangan.
Dalam kejadian jam 3.10 petang Isnin, lelaki terbabit terus bertindak memaklumkan penemuan itu kepada pekerja stesen minyak berkenaan yang kemudiannya menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata, anggota polis yang tiba di tempat kejadian setelah menjalankan siasatan awal mendapati kandungan plastik itu dipercayai grenad (bom tangan) lalu memanggil Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pemeriksaan lanjut. Bernama