Kejar sampai 8 kilometer

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:22 PG
Shah Alam: Bagaikan aksi dalam filem apabila seorang lelaki dipercayai ahli kongsi gelap 18 melarikan diri dari sepasukan polis sejauh kira-kira lapan kilometer dari Seksyen 33 sebelum berakhir di Seksyen 26 di sini apabila suspek maut dalam kejadian berbalas tembakan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, suspek yang berusia 37 tahun ditemui dalam keadaan mencurigakan di kawasan Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Ladang Emerald, Seksyen 33, sebelum anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Selangor yang melakukan rondaan dalam
Ops Cantas Khas memintanya berhenti untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, suspek bertindak nekad apabila merempuh kereta peronda polis untuk meloloskan diri, malah suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Abu Samah Mat berkata, selepas itu polis mengejar suspek dari Seksyen 33 hingga ke Kampung Baru Hicom, Seksyen 26.

Katanya, ketika di Kampung Baru Hicom polis berjaya menemui kenderaan suspek, namun suspek bertindak melarikan diri ke sebuah kedai besi buruk.

“Kami mengepung kawasan kedai berkenaan dan suspek enggan menyerah diri walaupun sudah diminta berbuat demikian.

“Suspek kemudiannya melepaskan tembakan ke arah anggota polis dan berlaku berbalas tembakan sehingga suspek maut di tempat kejadian,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau serta kes dadah.
“Suspek juga disyaki terbabit dalam beberapa kes bunuh di sekitar Selangor serta ahli geng kongsi gelap 18 malah sepucuk Revolver serta beberapa peluru ditemui pada suspek,” katanya.