Warga Emas Berusia 58 Tahun Berkhalwat

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2:15 PG

JOHOR BAHRU – Seorang wanita berumur 58 tahun yang lazimnya sudah bergelar nenek, ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) selepas didapati berkhalwat dengan seorang lelaki Bangladesh dalam Ops Limau di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, semalam.

Wanita itu mengakui hubungannya dengan lelaki warga asing berusia 30 tahun berkenaan sekadar kawan selepas disoal anggota dan pegawai penguatkuasa.

Namun, mengejutkan apabila dia mengakui mereka masuk bilik hotel berkenaan sekitar jam 11 pagi kelmarin dan sudah melakukan seks meskipun pada awalnya, lelaki Bangladesh terbabit menafikan perkara itu.

Ketika diminta untuk memaklumkan kepada keluarga atau waris berhubung penahanan dan bagi proses jaminan, wajah wanita terbabit kelihatan sugul dan enggan berbuat demikian.

Mereka bagaimanapun memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk dibawa ke Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah bagi proses dokumentasi sebelum ke Jaij untuk tindakan lanjut.

Pada operasi sama, seorang pelajar perempuan tingkatan empat dari sebuah sekolah menengah di negeri ini, turut ditahan kerana berdua-duaan bersama pasangannya dalam bilik hotel.

Enggan memberikan kerjasama, pihak penguatkuasa terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak hotel untuk mendapatkan kunci tambahan bagi membuka pintu bilik pasangan terbabit.

Sebaik pintu dibuka, pelajar berusia 16 tahun itu keluar dari bilik air, manakala pasangannya, lelaki berusia 24 tahun di atas katil dalam keadaan berpura-pura nyenyak tidur, namun kedua-duanya berpakaian lengkap.

Ketika ditanya, mereka mengakui baharu sahaja masuk hotel tersebut sekitar jam 12 tengah malam, dan mendakwa tidak melakukan kegiatan tidak bermoral. - Mynewshub