Terkini pendakap gigi tanpa dawai

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:41 PG




Senyuman yang menawan tidak lengkap tanpa gigi yang cantik, bersih dan teratur. Namun, tidak semua orang memiliki gigi sempurna kerana ada yang mengalami kecacatan gigi atau malocclusion.

Malocclusion adalah susunan gigi yang tidak teratur seperti gigi sesak (crowding), gigi jarang (spacing), gigi depan di atas lebih menonjol berbanding di bawah (overbite), gigi depan atas melekat keluar dan menonjol (overjet) dan gigi bawah ke depan (underbite).

Kecacatan gigi juga membabitkan gigi atas dan gigi bawah tersusun berlawanan daripada susunan normal yang tepat (crossbite), gigi depan atas dan bawah tidak bersentuhan bila gigi dirapatkan (openbite) dan gigi depan tengah tidak sekata dengan gigi depan (misplaced midline).

Beberapa faktor yang menyebabkan malocclusion ialah keturunan, saiz tulang rahang dan gigi tidak seimbang, bilangan gigi yang lebih, bentuk gigi yang tidak normal, gigi terhimpit kerana tidak cukup ruang, kehilangan awal gigi susu atau gigi kekal dan tabiat buruk seperti menghisap jari atau menggigit bibir.

Susunan gigi yang tidak teratur boleh mewujudkan pelbagai masalah seperti gigi yang sesak sukar dibersihkan apabila berus gigi atau flos gigi tidak boleh mencapai celah gigi tempat makanan terselit, sekali gus menyumbang kepada kerosakan gigi dan penyakit gusi. Gigi yang menonjol atau jongang pula menyebabkan tergigit bibir atau lidah dengan sengaja.

Crossbite boleh menyebabkan pertumbuhan gigi yang tidak rata manakala openbite juga boleh menyebabkan tergigit lidah dan mengganggu pertuturan menyebabkan sebutan tidak jelas.

Perunding Ortodontik ClearPath dan Pakar Produk, Dr Syed Imran Ali berkata, susunan gigi yang tidak teratur boleh dibetulkan menerusi rawatan ortodontik seperti mencabut gigi atau memakai pendakap gigi kerana kecacatan yang tidak diperbaiki mampu menyebabkan penyakit gusi dan kerosakan gigi.

Rawatan ortodontik juga mencegah risiko kecederaan pada gigi, dapat membetulkan gigitan dan membantu mengunyah makanan dengan baik, di samping menjadikan penampilan lebih menarik.

"Penggunaan pendakap gigi besi adalah kaedah konvensional untuk merawat kecacatan pada gigi apabila wayar dan braket logam akan diikat ketat untuk menolak gigi kembali ke dalam jajaran betul dan jurang antara gigi juga dikurangkan menggunakan kaedah sama.

"Kaedah ini berkesan untuk membetulkan kecacatan kecil serta membantu meningkatkan kesihatan keseluruhan gigi mereka yang mempunyai gigi yang tidak teratur. Bagaimanapun, mereka yang mempunyai kecacatan serius tidak disyor menggunakan pendakap gigi," katanya.

Menurutnya, rawatan ortodontik sangat penting kerana kesihatan keseluruhan seseorang bergantung kepada kesihatan bahagian gigi apabila penjagaan oral yang baik boleh mengurangkan insiden penyakit jantung, penyakit gastrointestinal dan masalah kesihatan lain.

"Selain itu, kita memerlukan gigi untuk makan dan mengunyah. Gigi terbentuk dengan cara sepatutnya bagi memudahkan proses mengunyah dengan lebih cekap, sekali gus membantu penghadaman. Gigitan yang rata dan seimbang juga mengurangkan risiko tekanan berlebihan, sakit kepala dan tekanan pada tulang dan tisu yang menyokong kita.

"Gigi yang kemas juga menghasilkan senyuman menawan dan ini memberi kita lebih keyakinan untuk berdepan orang ramai. Malah, pertuturan kita lebih jelas butirannya kerana gigi memainkan peranan penting dalam keupayaan kita bercakap," katanya.

Seiring dengan perkembangan teknologi dalam rawatan ortodontik, mereka yang mengalami malocclusion kini mempunyai alternatif pemakaian pendakap gigi kerana syarikat teknologi pergigian, Clearpath Orthodontics, memperkenalkan inovasi baru dalam penyelesaian masalah gigi tidak teratur.
Pendakap gigi diperkenalkan syarikat terbabit tidak lagi menggunakan wayar dan braket logam, sebaliknya plastik lutsinar, Essix, diperbuat daripada bahan bermutu tinggi serta direka khas mengikut acuan bentuk gigi pemakainya.

Lebih unik, pendakap gigi lutsinar yang dikenali sebagai aligner dicipta menggunakan teknologi Rekaan Berbantukan Komputer (CAD) dan Pembuatan Berbantukan Komputer (CAM).

Dr Syed Imran berkata, Clearpath menawarkan teknik melurus kedudukan gigi secara mudah, bersih dan tidak menyakitkan kerana tidak membabitkan penggunaan dawai dan braket logam, seramik, getah elastik atau sebarang bahan yang dilekatkan secara kekal dalam tempoh tertentu pada gigi.

"Selain lutsinar, aligner berteknologi tinggi ini juga sangat selesa dipakai kerana tidak mengganggu gusi dan pipi serta mudah ditanggalkan untuk dicuci. Malah, tiada halangan dalam pengambilan sebarang bentuk makanan ketika memakainya.

"Sebaliknya, pendakap gigi logam menimbulkan rasa tidak selesa dan sakit kerana dawai dan braket logam menekan gigi dan rahang. Pemakai pendakap gigi logam juga perlu mencabut beberapa gigi untuk memberi ruang pergerakan gigi bagi membentuk susunan teratur," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi ClearPath Marketing, Mazdurah Mohd Zin berkata, teknologi pergigian itu dibangunkan dengan kualiti sangat baik dan unik untuk memberi pilihan kepada pengguna, selain pendakap gigi konvensional yang membabitkan banyak prosedur sukar.

Pemakai aligner ClearPath tidak perlu menemui doktor gigi, sebaliknya merakam sendiri gambar dalaman dan luaran gigi daripada pelbagai sudut sebelum menghantarnya kepada pihak ClearPath menerusi kiriman e-mel atau telefon pintar.

Pihak ClearPath akan memberi maklum balas dalam tempoh 24 hingga 48 jam dan melakukan langkah seterusnya membabitkan prognosis gigi, pelan rawatan, tawaran pakej yang bersesuaian, anggaran bilangan aligner diperlukan dan tempoh pemakaian.

"Selepas pesakit bersetuju dengan tawaran berkenaan, kami akan menghantar kesnya kepada pakar ortodontik untuk direkod secara digital dan fizikal. Acuan gigi pesakit kemudian dihantar ke unit pengeluaran di Dubai (Emiriah Arab Bersatu) yang akan menghasilkan aligner dengan bantuan komputer.

"Aligner yang padan dengan gigi pesakit kemudian dihantar kepada pakar ortodontik ClearPath untuk dibekalkan kepada pesakit berkenaan. Pesakit tidak perlu menemui doktor gigi untuk menukar aligner kerana bilangan pendakap diberikan sekali gus kepada mereka mengikut tempoh rawatan antara enam hingga 18 bulan bergantung tahap kecacatan gigi.

"Pesakit akan menukar sendiri aligner setiap dua minggu sekali dengan tempoh pemakaian selama 20 hingga 22 jam sehari. Memandangkan aligner direka khas secara berkomputer, pergerakan gigi akan mengikut aligner berkenaan yang dianggarkan bergerak antara 0.1 hingga 0.2 milimeter.

"Teknologi baru itu juga menetapkan pergerakan gigi sebelum pesakit memakai aligner apabila setiap pergerakan ditentukan sebanyak mana, gigi mana yang akan bergerak dan bila ia bergerak," katanya. Menurut mymetro