Johor Bahru: “Saya lihat sebuah kereta berpusing dari lorong kanan ke kiri dan pada masa sama tujuh lagi kenderaan berlanggar sesama sendiri di hadapan kereta saya,” kata saksi kejadian kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Simpang Kota Puteri dari Pasir Gudang menghala Johor Bahru di sini, semalam.
Othman Ibrahim, 58, yang turut berada dalam barisan kenderaan di persimpangan lampu isyarat di lokasi kejadian itu terkejut, tetapi bersyukur kemalangan yang berlaku di hadapannya itu tidak membabitkan kenderaannya.
Menurutnya, dia terus memberhentikan keretanya di bahu jalan dan bersama pengguna jalan raya lain membantu mengeluarkan semua pemandu dan penumpang yang terbabit dalam kemalangan itu.
“Saya bersyukur diberi kekuatan membantu orang ramai mengeluarkan semua mangsa, walaupun kenderaan terbabit remuk teruk, pintunya mudah dibuka dan mangsa yang berada di dalamnya boleh keluar dengan selamat.
“Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan serius kepada mangsa tetapi saya tetap membantu menghantar mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan disebabkan trauma,” katanya.
Kemalangan jam 2 petang itu dipercayai berlaku apabila lori kargo yang mempunyai masalah brek dan stereng tidak dapat berhenti sebelum melanggar tiga kenderaan di hadapannya termasuk sebuah lori tangki yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Kejadian itu menyebabkan kereta Toyota Vios berpusing ke arah lorong kiri selain Honda Civic tersepit di bawah lori, manakala tiga lagi kenderaan yang berada di belakang lori kargo terbabit bergesel sesama sendiri disebabkan mahu mengelak daripada terbabit dalam kemalangan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Abdul Samad Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. Menurutnya, kemalangan itu difahamkan berpunca daripada sebuah kenderaan yang tidak sempat memberhentikan kenderaannya apabila tiba di persimpangan lampu isyarat berkenaan. “Tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan dan hanya berlaku kerosakan pada lapan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu,” katanya. Mymetro