Dihalang jumpa anak, lelaki mengaku lastik kereta bekas isteri

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:49 PTG

Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM500 di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melastik sebiji bola besi ke arah kereta bekas isterinya, minggu lalu.

Tertuduh, Edy Syu’aib Mohd Suhaimi, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan melastik sebiji bola besi ke arah kereta jenis Kia Rio milik bekas isterinya yang berusia 36 tahun di hadapan Sekolah Kebangsaan Tapang di sini, kira-kira jam 7.30 petang, pada 30 Mei lalu.

Perbuatan itu menyebabkan cermin belakang di sebelah kanan penumpang berlubang dan retak sehingga mangsa mengalami kerugian RM200.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha memohon hukuman yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan demi menjaga kepentingan awam.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana perbuatan itu dilakukan selepas tertuduh dihalang untuk bertemu empat orang anaknya.

"Sebelum kejadian, berlaku sedikit pertelingkahan antara mereka apabila bekas isteri tidak membenarkan tertuduh bertemu anak-anaknya.

“Tertuduh membuka kedai makan bersama ibunya. Lelaki itu menghidap penyakit migrain yang teruk dan kerap mendapat rawatan di hospital," katanya.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM500 atau penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Difahamkan tertuduh yang juga seorang peniaga membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Sebagai rekod, media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan polis pagi tadi selepas dia disyaki menembak kereta yang dipandu bekas isterinya dalam kejadian berpunca daripada perasaan cemburu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, pada 30 Mei lalu itu, wanita tersebut memandu kereta jenis Kia Rio bersama tiga anaknya yang berusia tiga hingga 13 tahun di Kampung Tapang, Kota Bharu.  - Mkini