Wanita rugi RM418,400 jadi mangsa 'Love Scam' Cinta lelaki melayu Perancis

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2:18 PG
Penjenayah 'Love Scam' warga Afrika menyamar lelaki melayu atau Amerika-Eropah menipu wanita kesunyian di Malaysia menggunakan terutamanya platform Facebook. - Foto MyMetro

KUANTAN: Penangan cinta menyebabkan seorang wanita tergamak mengeluarkan wang simpanan ibunya berjumlah RM418,400 untuk diserahkan kepada kekasih yang hanya dikenali menerusi aplikasi media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 28 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek lelaki yang kononnya ahli perniagaan Melayu menetap di Perancis menerusi aplikasi CINTAKU pada 22 Dis lalu.

“Mangsa mendakwa bertukar nombor telefon selain turut berkongsi nombor akaun banknya kerana suspek berhasrat menghantar hadiah termasuk wang tunai sebagai tanda perkenalan mereka pada 26 Dis 2020, diikuti gambar sekeping cek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Wanita itu seterusnya menerima e-mel mendakwa dirinya akan menerima RM89,700 menerusi transaksi pemindahan wang luar negara, namun perlu membuat bayaran RM2,000 sebelum wang itu boleh dikreditkan ke akaun mangsa,” katanya kepada pemberita.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang tidak bekerja mendakwa sering menerima pesanan WhatsApp daripada suspek memintanya membuat lebih banyak bayaran atas pelbagai alasan berkaitan hadiah wang tunai itu, dengan pesanan terakhir diterima pada 19 Feb lalu.

Mangsa mendakwa, apabila dihitung semula, dia sudah membuat 44 transaksi pemindahan wang ke sembilan akaun berbeza diberikan suspek, dengan jumlah keseluruhan RM418,400.

Dia yang akhirnya berasa ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

- BERNAMA