Tajuddin jawab Musa Hitam tak adil ketepikan pemimpin UMNO ada kes mahkamah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 10:45 PG
Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tajuddin Rahman menganggap kenyataan Tun Musa Hitam dipercayai berkaitan Najib dan Zahid hanya pandangan peribadi. - Foto Malaysia NOW

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tidak adil mengenepikan pemimpin Umno yang sedang dibicarakan sehingga dibuktikan oleh mahkamah bersalah atau tidak.

Tajuddin berkata, mana-mana pemimpin yang berhadapan dengan tuduhan dan pendakwaan mempunyai hak berada dalam parti dan mempertahankan diri.

Tajuddin menganggap saranan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam baru-baru ini sebagai pandangan peribadinya sahaja.

“Ini pandangan beliau tetapi kita juga kena berlaku adil sebab seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah (oleh mahkamah).

“Mereka yang belum dibuktikan bersalah secara sahnya masih belum didapati bersalah ada hak. Cuma pandangan masyarakat, pandangan pengundi. Kita telah menghukum lebih awal mereka-mereka ini,” katanya seperti dilapor Malaysia GAZETTE.

Sebelum ini, Tun Musa dilaporkan berkata, UMNO perlu berani mengambil pendirian untuk mengenepikan mana-mana pemimpin yang ada hubung kait dengan pendakwaan di mahkamah. demi menyelamatkan UMNO sebuah parti keramat Melayu.

Menurut Musa Hitam, semua pemimpin yang sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah harus diketepikan sehinggalah membuktikan mereka tidak bersalah.

Antara pemimpin UMNO yang sedang berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah adalah Datuk Seri Najib Razak dan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Manakala yang menunggu giliran dibicarakan adalah Ahmad Maslan dan Shahrir Samad.

Sebelum ini, Tengku Adnan Mansor telah didapati bersalah menerima rasuah oleh mahkamah.