Sisa letupan ditemui di lokasi pembunuhan Altantuya Shaariibuu lazimnya digunakan oleh tentera, kata seorang saksi di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Bekas Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat di Jabatan Kimia, Shaari Desa berkata, sisa berkenaan adalah ‘pentaerythritol tetranitrate’ (PETN) dan ‘cyclotrimethylene trinitratemine’ (RDX) yang ditakrifkan sebagai letupan. RDX juga adalah agen ledakan dalam bahan letupan plastik C4.
Shaari berkata, berdasarkan analisisnya, beliau hanya menemui sisa PETN dan RDX dari kategori ‘sangat mudah meledak.’
“Kedua-duanya lazimnya digunakan dalam aktiviti ketenteraan dan mempunyai halaju letupan lebih 1,000 meter sesaat,” kata saksi itu ketika disoal peguam Harshaan Zamani yang mewakili keluarga wanita Mongolia itu.
Beliau memberi keterangan dalam saman difailkan keluarga Altantuya terhadap kerajaan dan beberapa pihak lain.
Bapa Altantuya, Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa, dan anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal, turut menamakan penganalisis politik Abdul Razak Baginda serta anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar sebagai defendan dalam saman mereka.
Keluarga itu, yang mendakwa berlaku konspirasi dalam pembunuhan Altantuya, menuntut ganti rugi RM100 juta termasuk tuntutan penanggung.
Shaari, 54, yang kini Pengarah Jabatan Kimia Pulau Pinang berkata, kuasa letupan RDX serta PETN mampu mengakibatkan kerosakan teruk selain menghasilkan gelombang kejutan supersonik
Menurut saksi itu, pada 17 Nov 2006, pegawai penyiasat Tony Lunggan datang ke pejabatnya di Petaling Jaya dan memintanya menganalisis bahan bukti diambil dari lokasi jenayah.
Tony menyerahkan kepadanya 69 sampul dalam bentuk sampul surat serta bungkusan.
Shaari berkata antara lain ini termasuk sisa letupan, rambut, tulang, serpihan plastik, tanah dan senjata api.
Altantuya, 28, seorang jurubahasa, dibunuh antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 11 pagi keesokannya di kawasan hutan di Puncak Alam. Dia ditembak di kepala sebelum mayatnya diletupkan.
Razak, pembantu kepada timbalan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul, tetapi kemudian dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Sirul dan Azilah, anggota Unit Tindakan Khas (UTK), didapati bersalah membunuh Altantuya pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi.
Mereka berjaya mengetepikan keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengekalkan sabitan itu dan menjatuhi hukuman mati.
Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir itu.
Sirul, yang kini berada di pusat tahanan di Australia, dan Azilah, yang berada di Penjara Kajang, masing-masing tidak mencabar saman keluarga Altantuya itu.
Perbicaraan bersambung pada 14 Jun.
Sumber: Free Malaysia Today
altantuya and najib altantuya murder altantuya shaaribuu Google News Tag Malaysiakini BM najib razak