Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Abd Rahim Jaafar berkata kapal kargo berdaftar di Mongolia itu ditahan bot ronda Unit Risikan PPM Wilayah Dua, kira-kira 8.15 malam.
Beliau berkata pergerakan kapal kargo dari perairan Myanmar itu dikesan berdasarkan maklumat risikan.
Menurutnya, bot ronda terbabit cuba memintas kapal kargo berkenaan, namun, kapten kapal tersebut enggan bekerjasama sebelum berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan, lebih 7,000 kotak berisi rokok tidak bercukai ditemukan di dalam kapal kargo berkenaan dan ia adalah rampasan terbesar dalam sejarah negara,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini hari ini.
Abd Rahim berkata polis mengesan tindakan kapal terbabit yang berulang-alik dua kali dari Batam, Indonesia, ke pantai barat Johor sejak bulan lalu dan kemudian mengagihkan rokok kepada bot-bot tempatan kecil di sepanjang laluan.
“Kapal ini akan cuba masuk ke perairan kita setiap kali tiada penguat kuasa dan bot-bot kecil akan mengambil rokok berkenaan dari kargo,” katanya.
Menurutnya, rokok berkenaan dipercayai dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum dicampak ke dalam laut dan diambil oleh bot-bot kecil.
Seramai 10 kru kapal terbabit melibatkan warga Myanmar dan Singapura bersama seorang kapten kapal warga Myanmar berumur antara 22 hingga 60 tahun ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967, katanya.
- BERNAMA