Bungkus dadah bersama sejadah dan hantar guna kurier adalah taktik pengedaran dadah antarabangsa bagi cuba mengaburi pihak berkuasa menggunakan barangan berkaitan dengan agama.
Bagaimapun, sindiket itu akhirnya tumpas hasil kejayaan polis menahan seramai 13 individu menerusi enam serbuan berasingan di sekitar ibu negara dan Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, semua suspek yang diberkas itu melibatkan 11 lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang lelaki warga Taiwan
Kesemua yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun itu dipercayai dalang kepada sindiket berkenaan.
Menurut beliau, serbuan bermula Sabtu lalu hingga Isnin, pihaknya berjaya merampas dadah jenis ketamin, syabu, pil erimin 5 dan ekstasi dengan jumlah keseluruhan seberat 96.1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM4.9 juta.
“Bertindak atas maklumat yang diperoleh dari bahagian risikan antarabangsa JSJN pada Sabtu, pasukan operasi mengekori seorang suspek lelaki yang sedang menggunakan khidmat kurier di Cheras untuk menghantar lima kotak barangan keagamaan ke Indonesia.
“Hasil siasatan mendapati kotak tersebut mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 4.12 kilogram yang dibungkus dengan plastik dan diletakkan bersama sejadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Razarudin, berdasarkan maklumat, anggota risikan kemudiannya menyerbu enam kediaman berasingan dan mendapati salah sebuah daripadanya menjadi makmal memproses dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 25 kilogram.
Jelas Razarudin, dengan tertangkapnya kesemua ahli sindiket berkenaan, polis berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah ke Indonesia serta beberapa lagi negara antaranya New Zealand, Korea Selatan dan Taiwan.
“Suspek warga Taiwan berusia 30 tahun yang diberkas dalam operasi ini turut dikehendaki oleh polis Taiwan atas kesalahan mencuri dan cubaan membunuh.
“Kita akan berkerjasama dengan pihak polis di negara berkenaan namun sekiranya ada sabitan suspek tidak akan diekstradisi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, selain rampasan dadah pihak polis turut menyita tiga buah kereta, wang tunai RM3,200 serta barang kemas bernilai RM14,000 dengan jumlah keseluruhan RM5.062 juta.
Katanya lagi, 12 daripada 13 suspek yang ditahan turut didapati positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah dan dadah.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak November tahun lalu dan mungkin ada dalam kalangan suspek turut menjadi keldai dadah.
“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga Ahad dan mungkin akan disambung reman bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Malaysia Gazette