Yeo Bee Yin memfailkan saman pada 14 Jun 2017 menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal Yunos atas kenyataan fitnah berhubung isu dana Yawas. - Foto ihsan Malaysia Gazette |
Jamal, 50, yang membacakan kenyataan maaf itu di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berkata beliau memohon maaf kerana memfitnah Yeo sebelum ini.
“Saya sekarang mengakui bahawa YB Yeo Bee Yin seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas.
“Saya ingin memohon maaf kepada YB Yeo Bee Yin atas kesilapan saya ini. Saya minta maaf, YB Yeo Bee Yin,” katanya.
Hari ini dan Khamis sepatutnya prosiding perbicaraan kes saman itu di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff, namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya melalui penghakiman persetujuan.
Terdahulu, Hakim Rozana merekodkan penghakiman persetujuan kes itu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak terlibat kerana bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan saman tersebut di luar mahkamah.
“Hari ini kita dah capai penyelesaian, jadi mahkamah telah rekodkan persetujuan. Mahkamah juga berterima kasih kepada pihak-pihak kerana kes ini agak lama memandangkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini, mahkamah perlu dahulukan kes-kes lama,” katanya.
Berdasarkan deraf penghakiman persetujuan, Jamal selaku defendan yang diwakili peguam Mohammed Nasser Yusof, perlu memohon maaf kepada Yeo sebagai plaintif di hadapan semua wartawan dan jurugambar di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Jamal juga dihalang mengucapkan, menulis, menerbit atau menyebar perkataan-perkataan yang dikatakan memfitnah seperti dalam penyataan tuntutan terpinda pada 16 Jun 2017 atau kata-kata yang mempunyai kesan sama berkenaan plaintif atau penyataan yang boleh dikira sebagai memfitnah.
Penghakiman persetujuan itu tidak boleh mengikat dan diguna pakai ke atas defendan oleh mana-mana pihak lain yang mempunyai tindakan saman serupa terhadap Jamal. Penghakiman persetujuan itu juga tanpa perintah mengenai kos.
Yeo memfailkan saman itu, pada 14 Jun 2017 menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta daripada Jamal atas kenyataannya yang didakwa berbaur fitnah berhubung isu penyelewengan dana Yawas.
Penyataan tuntutan Yeo, yang juga Ahli Parlimen Bakri, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan itu pada 21 Mac 2017 dan diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita serta akaun Facebook defendan.
Yeo mendakwa kenyataan itu, antara lain memberi tanggapan bahawa beliau telah menyalahgunakan dana awam serta menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika serta tidak boleh dipercayai.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam Sankara N. Nair yang mewakili Yeo berkata ada pernyataan umum dalam undang-undang bahawa semua orang mempunyai reputasi yang baik sehingga terbukti sebaliknya dan reputasi adalah komoditi berharga untuk semua.
“Dengan prosiding hari ini dan permohonan maaf secara terbuka oleh Datuk Seri Jamal kepada klien saya berhubung episod serius ini yang telah mencemarkan reputasi klien saya, kini ia telah dihapuskan secara kekal,” katanya.
- BERNAMA