Pelakon Hans Isaac menafikan dakwaan beliau sedang mengintai peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Ampang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang
Datuk Hans Isaac memberitahu portal Free Malaysia Today bahawa beliau menyertai PKR selepas “Langkah Sheraton” pada Februari lalu kerana merasakan parti itu paling sesuai dengannya dari segi hala tuju dan ideologi.
“Saya bercakap dengan presiden parti Anwar Ibrahim. Saya merasakan hala tuju dan polisi parti itu betul dan tidak meninggalkan sesiapa pun,” katanya.
Sebelum ini spekulasi tercetus di media sosial, Hans akan bertanding menentang penyandang Parlimen Ampang yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Bagaimanapun, Hans berkata bukan dia yang akan memutuskan jika bertanding pada pilihan raya akan datang.
“Saya tidak mengintai mana-mana kerusi pun,” katanya dipetik FMT.
Hans turut memaklumkan beliau kini bekerjasama dengan sebuah NGO, Kita Budak Ampang, untuk membantu belia dan warga emas.
Hans berkata, apa dilakukannya itu memberi dia peluang untuk membantu penduduk Ampang “tanpa mengira kaum dan latar belakang” dan untuk membantu masyarakat di Subang serta beberapa kawasan lain.
Bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) itu berkata, Kita Budak Ampang juga bekerjasama dengan ahli PKR dan cawangan untuk membantu rakyat.
Anwar Ibrahim gossip artis Gossip Artis Malaysia Hans Isaac Malaysiakini BM Politik PRU15