Saksi cerita bagaimana adik Zahid terima RM5.9 juta Yayasan Akalbudi beli dua banglo

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:10 PG
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir pada perbicaraan 47 pertuduhan kesnya melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - foto ihsan Malaysia Gazette/Hazrol Zainal

oleh Malaysiakini / M Fakhrull Halim

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bagaimana wang RM5.9 juta daripada Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid Hamidi digunakan untuk membeli dua unit lot banglo untuk Yayasan Al-Falah yang dipengerusikan adiknya, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Tharuzi Mohd Nor, menyediakan carta aliran bagi menunjukkan kepada mahkamah bagaimana wang tersebut diberikan oleh Tetuan Lewis & Co kepada Yayasan Al-Falah untuk pembelian banglo berkenaan.

Kata Tharuzi, berdasarkan siasatannya, untuk pembelian dua banglo di Country Height, Kajang berkenaan, wang berjumlah RM5.9 juta telah dibayar oleh Yayasan Al-Falah kepada pemilik lot, Bee Garden Holdings Sdn Bhd (Bee Garden) dengan menggunakan cek milik Lewis & Co.

Berdasarkan carta aliran itu, Lewis & Co menerima tujuh keping cek daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services (Mastoro Kenny) dan sekeping cek daripada Mubarak Hussain Akhtar Husin pada Nov 2016 - keduanya berjumlah RM7 juta.

Wang itu kemudiannya digunakan untuk membeli dua sijil simpanan tetap pada Jan 2017, sebelum dijual semula (uplift) atas arahan Ahmad Zahid pada harga RM7,019,680.07 termasuk faedah.

Daripada hasil itu, wang RM5.9 juta dikeluarkan daripada akaun Lewis & Co menerusi sekeping cek, dan digunakan untuk membayar pembelian banglo Yayasan Al-Falah kepada Bee Garden.

Bakinya sebanyak RM1,119,680.70 digunakan kembali, juga untuk membeli sijil simpanan tetap.

Menurut saksi ke-66 sebelum ini, Faisalluddin Mohamat Yusuff yang merupakan salah seorang pemegang amanah Yayasan Al-Falah merangkap peguam dilantik untuk urusan dokumen pembelian banglo berkenaan, cek itu diserahkan Nasaee kepadanya untuk diserahkan kepada pengarah Bee Garden.

Katanya, dia dimaklumkan Nasaee bahawa wang itu merupakan sumbangan daripada Ahmad Zahid.

Sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, namun ia dinafikan oleh kedua-dua rakan kongsi Lewis & Co yang hadir sebagai saksi Ogos tahun lalu.

Sementara Nasaee merupakan pengerusi dan lembaga pemegang amanah Yayasan Al-Falah, Ahmad Zahid pula merupakan pemilik Yayasan Akalbudi, serta merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal yayasan berkenaan.

Semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Thazuri mengesahkan yang Ahmad Zahid tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam Yayasan Al-Falah, dan Nasaee juga tidak memegang apa-apa jawatan dalam Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan wang haram, dia dituduh menerima cek bernilai puluhan juta daripada pelbagai pihak menerusi Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk penempatan simpanan tetap bawah nama firma berkenaan.

Dalam pertuduhan ke-26 pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh memberikan arahan pembelian dua unit banglo tersebut, bernilai RM5.9 juta, melalui akaun Lewis & Co, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Pengarah Bee Garden, Lee Kim Tiong @ Lee Kim Yew, yang hadir sebagai saksi ke-57 Jun tahun lalu, memberitahu mahkamah bahawa Yayasan Al-Falah mahu membeli dua banglo milik syarikatnya itu untuk dijadikan kawasan keagamaan seperti sekolah agama dan tahfiz.

Pun begitu, semasa pemeriksaan semula tadi, Tharuzi menjelaskan banglo itu terletak di dalam kawasan yang diawasi ketat oleh pihak keselamatan, menjadikan akses sukar untuk orang awam masuk ke kawasan berkenaan.

Pada dua kali terakhir dia melawat banglo-banglo berkenaan pada hujung tahun lepas dan minggu lepas, katanya, dia juga mendapati tidak ada apa-apa aktiviti dijalankan di situ.

Yang pelik-pelik tentang pembelian banglo

Semasa pemeriksaan semula, Sazilee bertanyakan Tharuzi tentang hal-hal pelik yang dia dapati berlaku dalam pembelian dua banglo berkenaan, berdasarkan penyiasatan yang dilakukannya.

Kata Tharuzi, antaranya, dia tidak menemukan apa-apa dokumen, wang tunai atau sumbangan daripada Yayasan Akalbudi kepada Yayasan Al-Falah berhubung pembelian banglo berkenaan.

Dia juga tidak menemukan sebarang resit ‘sumbangan’ daripada Mastoro Keny dan Mubarak yang memberikan cek-cek kepada Lewis & Co.

Dia,  yang merupakan saksi ke-94 itu,  juga berasa “janggal” apabila mendapati Yayasan Al-Falah tiada ahli jawatankuasa lain, dan hanya mempunyai tiga orang pemegang amanah, iaitu Nasaee, Faisalluddin, dan Mohd Farid Abdullah - yang dipercayai berada di Switzerland dan gagal dihubungi dan ditemui sehingga kini.

Sazilee: Itu perkara biasa atau pelik? Yayasan ada tiga orang sahaja?

Tharuzi: Agak janggal. Nak menguruskan satu yayasan hanya tiga orang sahaja.

Perbicaraan yang masuk hari ke-48 di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu bersambung esok. 

Sumber artikel: Malaysiakini BM