Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengeluarkan 146 saman kepada anggota polis dalam Op Khas (Pemeriksaan Kenderaan) secara mengejut di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada Selasa, 16 Mac.
Harian Metro melaporkan Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sebanyak 280 kenderaan diperiksa dan mengeluarkan 146 jumlah saman atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (fancy), tiada cermin sisi, tiada cukai jalan serta ubah suai ekzos.
Menurutnya, operasi bermula 7 pagi itu berikutan isu tindakan penguatkuasaan 'terpilih' polis yang kerap diperkatakan masyarakat mempertikaikan operasi dan tindakan saman dilaksanakan oleh JSPT ke atas pesalah lalu lintas hanya membabitkan orang awam semata-mata.
"Operasi membabitkan seramai 15 pegawai dan 35 anggota JSPT yang mana Op kali ini disertai lima pegawai Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) serta seorang pegawai dan empat anggota dari Jabatan Alam Sekitar (Jas).
"JSPT ingin menegaskan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan adalah secara menyeluruh dan pegawai, anggota dan pegawai awam di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak terkecuali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Nadzri berkata, objektif utama operasi pemeriksaan mengejut diadakan di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman adalah untuk memeriksa kenderaan yang digunakan oleh warga kerja PDRM yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya terutama pada mereka yang mengubahsuai kenderaan dan menggunakan nombor pendaftaran fancy.
"PDRM kekal tegas dalam memastikan pegawai dan anggotanya supaya sentiasa patuh dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya supaya dapat menjadi teladan kepada masyarakat amnya," katanya.
Anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah tempohari menerima 'kejutan' daripada Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard serta Cawangan Khas IPK Kedah yang membuat pemeriksaan di pintu masuk IPK itu.
Menurut laman Facebook Polis Kedah, antara pemeriksaan yang dilakukan adalah pemeriksaan dokumen sulit, pemeriksaan kenderaan dan pemeriksaan pas keselamatan.
Beberapa kenderaan milik pegawai dan anggota serta kakitangan awam telah disaman kerana melanggar undang-undang jalan raya seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Ketua Polis Kedah, Hasanuddin Hassan berkata, operasi itu sebagai memberi peringatan kepada anak buahnya bahawa mereka juga mesti mematuhi undang-undang.
"Dari semasa ke semasa kita periksa. Bukan nak cari kesalahan, tapi untuk menentukan pegawai juga perlu mengikut undang-undang seperti mana orang lain juga.
"Kalau motor tu, undang-undang kata kena ada cermin sisi, jadi mesti ada cermin sisi. Dia (anggota polis) terikat dengan undang-undang.
"Kita penguat kuasa, kita hendaklah satu langkah di hadapan orang awam, maksudnya kita kena patuh pada undang-undang," katanya dipetik Malaysiakini.
Hasanuddin, yang pernah menjadi ketua polis Kelantan sebelum berpindah ke Kedah tahun lalu, mengatakan bahawa dia telah melakukan operasi serupa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Google News Tag
Jenayah
polis diraja malaysia