Pesara polis kongsi pengalaman tumpas Botak Chin, Bentong Kali, saksi insiden Bukit Kepong

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:57 PG
Sub Insp [B] Lim Tee Siang Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah melawat pesara polis yang bertugas ketika negara darurat, Dahali Zakaria, 88 tahun di Bandar Kinrara, Puchong. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 4 Mac -- Berani dan tekad dalam melaksanakan tugas. Itu pegangan pesara polis Lim Tee Siang yang merupakan antara anggota terbabit dalam menumpaskan 'Botak Chin’ dan 'Bentong Kali’ - dua penjenayah yang terkenal dengan kekejaman mereka di negara ini.

Menjangkau usia 84 tahun, Lim memulakan tugas sebagai anggota polis pada 1957 sebelum bersara sebagai Sub Insp di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika operasi menumpaskan kedua-dua penjenayah itu pada 1976 dan 1993, beliau adalah detektif yang bertindak mengumpulkan maklumat tentang mereka.

"Saya tidak boleh dedahkan banyak perkara namun apa yang berlaku tetap dalam ingatan dan menjadikan saya semakin kuat, berani menjalankan tugas," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah pada program lawatan kebajikan ke rumah pesara pegawai dan anggota polis di Taman Sri Serdang, dekat sini hari ini.

Lim Tee Siang turut berkongsi pengalamannya menahan perompak yang mengacukan dua pucuk pistol ke arahnya yang pada ketika itu tidak bersenjata, dengan hanya berbekalkan keberanian dan tekad untuk menumpaskan penjenayah tersebut.

"Kita (polis) perlu berani lawan dia (penjenayah)… Saya harap anggota polis perlu terus berani dan bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kes," katanya yang menerima 56 surat kepujian atas segala jasa yang disumbangkan kepada pasukan dan negara.

Beliau turut meluahkan rasa berterimakasih dengan kehadiran anggota polis di kediamannya yang disifatkan sebagai memberi gambaran bahawa jasanya masih dihargai.

Sementara itu, seorang pesara polis ketika zaman darurat, Dahali Zakaria, 88, yang turut dikunjungi, berkata kunjungan pegawai polis berkenaan bukan sekadar bertanya khabar namun turut “mendapatkan ilmu” daripada anggota yang telah bersara.

Dahali yang berkhidmat sebagai anggota polis dari 1948 hingga 1954 itu berkata walaupun tidak pernah berhadapan dengan komunis,  beliau turut merasai kesan kekejaman komunis apabila ramai rakan sepasukan terkorban angkara komunis selain menyaksikan sendiri kesan insiden Bukit Kepong pada 1950.

"Masa itu semua perasaan ada, geram dengan tindakan komunis dan marah kerana disebabkan mereka, ramai yang tidak berdosa meninggal dunia," katanya kepada pemberita di kediamannya di Bandar Kinrara, Puchong di sini.

Terdahulu, Razali mengunjungi tiga pesara polis dan seorang balu kepada anggota polis yang meninggal dunia akibat serangan jantung di sekitar Serdang.

"Hasrat kami supaya mereka ini rasa dihargai kerana mereka sangat berharga kepada kita dan pernah berkorban untuk negara dan pasukan," katanya, menambah seramai 76 pesara polis dikenal pasti di kawasan IPD Serdang. - BERNAMA

Nota editor MalaysiaStyloNews: 

Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong ialah kejadian serangan komunis yang berlaku semasa keadaan darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia II.

Dalam kejadian tersebut, Balai Polis Bukit Kepong telah diserang oleh segerombolan 180 orang komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi. pada 23 Februari 1950.

Dalam kejadian tersebut, sekitar 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.

Dalam kejadian ini, 19 orang anggota polis dan sejumlah 40 tentera komunis telah terkorban.

Baca lanjut di WIKIPEDIA