Lantikan PH diganti 'orang tak begitu pandai' penyokong PN, kata Tun Mahathir

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:52 PG
Tun Dr Mahathir antara Politision Terkacak Dunia - AnaGhoib Foto kredit Mashable SEA

Tun Dr Mahathir mendakwa banyak lantikan jawatan yang dibuat semasa zaman Pakatan Harapan (PH) kini digantikan kerana tidak menyokong kerajaan sekarang.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, meskipun dahulu mereka dipilih daripada kalangan orang yang pandai dan berkebolehan, akhirnya mereka ditukarkan dengan “orang yang tidak begitu pandai” selepas kerajaan bertukar.

“Waktu ini saya dapati ramai orang yang dilantik sudah dipindah, sudah diturunkan pangkat, kononnya kerana mereka ini tak begitu sokong kerajaan (sekarang). Itu jadi masalah kepada kita.

“Orang yang kita pilih - yang pandai, profesional, yang berkebolehan - ditukar untuk orang yang tak begitu pandai, tetapi penyokong (kerajaan). Inilah yang sedang berlaku sekarang,” katanya dalam rancangan temu bual Minda Profesor Negara petang ini.

Program anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) itu disiarkan di Facebook dan dikendalikan Muhammad Asri Mohd Ali. Ia turut disertai Presiden MPN, Prof Raduan Che Ros.

Asri bertanya kepada Mahathir secara spesifik tentang jawatan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menurutnya seolah-olah “berada di dalam poket perdana menteri” apabila sering ditukar apabila perdana menteri bertukar.

Kata Mahathir, hal itu berlaku kerana pelantikan jawatan itu bergantung kepada nama yang dikemukakan perdana menteri dan membayangkan keadaan pasti berubah jila pelantikan jawatan terbabit diserahkan kepada parlimen.

“Kalau kita pilih siapa pun, dia nak tahu masa depan dia macam mana. Kalau dia dapati perdana menteri berkuasa menentukan nasib dia, dia tunduk kepada perdana menteri.

“Sebab itu kita bercadang pemilihan jawatan-jawatan tertinggi hendaklah dibuat oleh parlimen dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong. Dengan itu, dia (yang dilantik) kena jaga parlimen, kerana parlimen ini ada pembangkang dan kerajaan.

“Jadi dia kena puaskan hati semua pihak,” katanya.

Oleh kerana pemilihan penyandang jawatan itu masih bergantung pada cadangan perdana menteri, kata ahli parlimen Langkawi itu, pelantikan berkenan boleh ditukar, disimpan atau disekat kenaikan pangkatnya jika perdana menteri tidak berpuas hati.

“Sebab itu mereka semua tunduk kepada perdana menteri,” tambahnya.

Kerana itulah, kata Mahathir, PH mahu mengubah sistem berkenaan dengan menyerahkan kuasa pemilihan kepada parlimen sebagai cara mengurangkan kuasa perdana menteri.

Latheefa Koya KP SPRM - Foto ihsan Bernama

Selepas PH menjadi kerajaan pusat pada 2018, Putrajaya melantik Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM namun peguam terbabit menyerahkan surat peletakan jawatan pada 2 Mac tahun lalu, sehari selepas Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Perikatan Nasional (PN).

Menurut Latheefa ia merupakan keputusannya sendiri dan bukan ditekan oleh mana-mana pihak. Kekosongan itu kemudian diisi bekas timbalan Latheefa, Azam Baki, berkuat kuasa 9 Mac 2020.

Muhyiddin mengangkat sumpah menggantikan Mahathir ekoran tumbangnya kerajaan PH pada hujung Feb tahun lalu.

Selain SPRM jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga bertukar dengan tertubuhnya PN.

PH melantik Azhar Harun mengetuai SPR namun peguam kanan itu kemudian dijadikan speaker Dewan Rakyat oleh PN. Tempat Azhar di SPR digantikan Abdul Ghani Salleh.

Seperti Latheefa, peguam negara Tommy Thomas turut meletak jawatan, digantikan abang Azhar Harun atau Art Harun ke Idrus Harun.

Baca lanjut di Malaysiakini