Ismail minta pemimpin Umno tak terpengaruh Anwar

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:28 PTG
Ismail Sabri bimbang Anwar memecah-belahkan Umno - Foto FMT

Barisan kepimpinan dan ahli Umno diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dikhuatiri pemimpin itu mempunyai agenda memecahbelahkan parti.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata beliau juga bimbang kenyataan yang dikeluarkan Anwar boleh menimbulkan syak wasangka dalam kalangan pemimpin dan ahli parti.

“Saya takut ia boleh memecahbelahkan antara dalaman Umno sendiri. Saya juga takut ada syak mengesyaki antara satu sama lain, masing-masing ‘petik’ nama orang itu dan orang ini, akhirnya sesama kita berpecah.

“Sebab itu saya harap Umno, kita jangan dipengaruhi oleh kenyataan-kenyataan dibuat Anwar kerana agenda dia mungkin hendak pecah belahkan Umno sendiri,” katanya yang juga Menteri Kanan (Keselamatan).

Ismail Sabri diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar baru-baru ini yang dilapor berkata terdapat perbincangan tidak rasmi antara partinya dan Umno mengenai kemungkinan akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ismail Sabri menegaskan Umno tidak akan bekerjasama sama ada dengan Anwar, PKR, mahupun DAP dalam PRU15 nanti, seperti mana yang telah diputuskan dalam beberapa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti sebelum ini.

Beliau juga berkata tiada perbincangan berlangsung antara parti itu dengan PKR dan sekiranya didapati terdapat mana-mana pihak dalam UMNO mengadakan perbincangan dengan PKR, tindakan boleh diambil kerana melanggar keputusan MT.

“Tetapi sekarang ini kita dengar dari Anwar sahaja. Anwar ni setiap minggu pun dia boleh buat kenyataan. Dari dulu lagi, (tetapi) satu pun belum betul lagi,” katanya.

- Bernama