Butterworth: Seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai mendera dan memukul bayi lelakinya berusia tujuh bulan hingga menyebabkan lebam pada badan serta mata bayi itu di sebuah pangsapuri dekat sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa bayi itu yang berusia 28 tahun memaklumkan anaknya mungkin dipukul dan didera namun tidak mengetahui siapa pelakunya.
"Menurut lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu, isterinya yang sudah tidak tinggal bersamanya menghantar anak mereka kepadanya di rumahnya di Kuala Bekah di sini, jam 4.30 petang kelmarin.
"Selepas itu, lelaki terbabit meminta kakak iparnya untuk memandikan anaknya. Kakak iparnya kemudiannya memaklumkan terdapat kesan lebam pada bahagian badan serta mata bayi berkenaan.
"Lelaki itu membawa anaknya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan sebelum pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan lebam di dahi, muka dan perut sebelah kiri selain pendarahan di mata kanan," katanya pada kenyataan hari ini.
Menurut Noorzainy, terdahulu, lelaki berkenaan ada bertanyakan perihal anak mereka itu kepada isterinya pada hari wanita terbabit menghantarnya.
"Ini kerana, wanita terbabit menghantar anak mereka secara tiba-tiba malah wanita itu hanya menjawab anak mereka terjatuh daripada buaian," katanya.
Pada masa sama, lelaki berkenaan turut pernah menerima surat rawatan anaknya itu daripada sebuah hospital swasta.
"Lelaki terbabit sudah tidak sehaluan dan tinggal berasingan dengan isterinya. Anak mereka itu sering dijaga oleh ibu mentua lelaki berkenaan.
"Ada kalanya, isterinya itu menjaga anak mereka," katanya.
Noorzainy berkata, hasil laporan itu, pihaknya menahan ibu bayi berkenaan yang berusia 25 tahun untuk siasatan.
"Hasil soal-siasat, suspek mengatakan anaknya mungkin terjatuh daripada buaian semasa dalam jagaan kawan-kawan lelakinya di sebuah pangsapuri yang didiaminya. Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
"Keterangan yang diberikan suspek meragukan dan kami syak, suspek dan rakan-rakannya adalah penagih dadah," katanya.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah selain memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber ihsan: Harian Metro