Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad berkata isu Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad boleh diselesaikan secara baik sekiranya beliau menyerah diri kepada JAIS
“Saya ingin menasihatkan saudara Sajat supaya berjumpa dengan pegawai Jais, dan selesaikan isu ini secara baik, supaya keadaan tidak menjadi lebih tegang, dan saya sudah berbincang dengan pegawai-pegawai Jais mengenai isu ini, apa yang saya lihat tindakan oleh Jais adalah sesuai dengan keadaan,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan kepada kira-kira 150 petugas badan keagamaan kerajaan di dewan Kompleks Darul Kifayah di Labuan hari ini, Zulkifli berkata Sajat juga tidak seharusnya mengungkapkan kata-kata seolah-olah berhasrat untuk keluar dari agama Islam.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menggerakkan satu jawatankuasa hal ehwal agama atau Jawatankuasa Pemandu bagi menangani isu atau aktiviti yang berkaitan dengan penyelewengan ajaran Islam,” katanya.
Januari lepas Nur Sajat tidak mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii.
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik berumur 36 tahun itu selepas dia tidak hadir semasa sebutan semula kes berkenan, bulan lepas.
Sementara itu Dr Zulkifli berkata tahun lepas Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berjaya mengumpul zakat berjumlah RM758 juta, berbanding RM688 juta pada tahun sebelumnya.
“Kutipan zakat meningkat 11 peratus dan ini akan membantu MAIWP mempelbagai skim bantuannya kepada kumpulan asnaf,” katanya dan menambah jumlah kutipan itu meningkat disebabkan pertumbuhan ekonomi negara yang baik.
Dia berkata antara skim bantuan yang ditawarkan MAIWP adalah sumbangan bulanan, bantuan sewa rumah, bantuan Al-Gharimin, bantuan Ibnu Sabil, bantuan perubatan, bantuan peralatan sekolah, di samping skim bantuan perkahwinan, persediaan untuk pendidikan ke peringkat tinggi, bantuan kepada agensi kebajikan serta aktiviti perniagaan dan pertanian.
Menurutnya tahun ini Baitulmal-MAIWP Labuan telah memperuntukkan RM20 juta khusus untuk memberi pelbagai bentuk bantuan kepada asnaf di Labuan yang terjejas pendapatan mereka susulan meletusnya pandemik Covid-19.
- BERNAMA