KP Johor Ayob Khan menunjukkan gambar tong dan lokasi mayat seorang wanita yang ditanam serta wajah suspek kes bunuh. - Foto Zain Ahmed |
Lebih memilukan, suaminya yang berusia 43 tahun, menjadi suspek utama yang dipercayai menembak isterinya yang berusia 38 tahun, di bahagian dada ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi.
Polis sedang menyiasat motif sebenar menyebabkan seorang suami penyayang bertukar kejam sehingga sanggup menembak mati isterinya sendiri, Isnin lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan motif cemburu menyebabkan suspek dipercayai hilang pertimbangan sehingga menembak bahagian dada isterinya pada jarak dekat, ketika wanita berkenaan sedang tidur.
"Kita masih siasat motif sebenar. Cuma cemburu ini ada macam-macam. Suami isteri, mungkin ada (cemburu) yang kita tak tahu.
"Siasatan akan dibuat dari semua sudut. Mungkin suspek ada hubungan lain. Ini berikutan penemuan surat tuntutan fasakh di rumah mereka.
"Namun kita tak tahu lagi motif sebenar, segalanya hanya kemungkinan dan hanya diketahui selepas siasatan selesai nanti," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Katanya, kes ini bermula apabila jiran mangsa membuat laporan polis berkaitan kehilangan ibu dua anak berkenaan, Isnin lalu.
Katanya, ia membawa kepada penahanan suami wanita berkenaan serta seorang lagi lelaki yang berusia 32 tahun yang juga rakan baiknya, keesokan harinya bagi membantu siasatan.
"Hasil siasatan awal ke atas suami wanita itu, suspek mendakwa isterinya keluar rumah kira-kira 2 pagi, Isnin lalu dan tidak pulang ke sejak itu.
"Suspek mendakwa berlaku perselisihan faham dengan isterinya itu sebelum mangsa keluar rumah.
"Bagaimanapun, suami mangsa yang juga seorang pemandu jengkaut akhirnya mengaku membunuh isterinya ketika wanita berkenaan sedang tidur dengan menggunakan senapang angin.
"Mayat wanita malang berkenaan dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar sebelum ia dibawa ke sebuah ladang serai di Bandar Penawar, lebih 30 kilometer dari kediaman mereka dan ditanam di situ," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, suspek kemudian menunjukkan lokasi isterinya ditanam, semalam kira-kira jam 10.30 pagi.
Katanya, mayat mangsa yang diisi di dalam tong air itu ditemui tertanam sedalam kira-kira dua meter di ladang serai berkenaan.
"Kita percaya suspek membawa tong air biru itu di dalam pacuan empat roda miliknya ke ladang berkenaan sebelum menggunakan jengkaut bagi menggali lubang bagi menanam tong berkenaan.
"Hasil siasatan lanjut di rumah suspek menemukan selaras senapang angin, selaras senapang patah, 54 butir peluru penabur 12 bore, sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Pajero dan jengkaut," katanya.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan mendatangkan kecederaan dan pemilikan senjata api.
Ayob Khan berkata, kedua-dua suspek ditahan reman enam hari bermula hari ini hingga Rabu depan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori,jika sabit kesalahan.
"Kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960. Polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh tiga hari selepas laporan dibuat," katanya.
Terdahulu, kehilangan wanita malang berkenaan tular di media sosial dengan segelintir netizen berkongsi paparan akaun Facebook milik mangsa.
Tinjauan di akaun Facebook mangsa yang berusia 38 tahun mendapati beliau memuatnaik gambar majlis hari jadi anak sulungnya pada 10 Februari lalu.
Mangsa dilaporkan berkahwin lapan tahun lalu, mempunyai dua anak lelaki berusia empat dan tiga tahun dan sering memuatnaik aktiviti keluarga termasuk majlis hari jadi anak bersama suspek.
Rata-rata netizen termasuk jiran mangsa meluahkan rasa sedih dan terkejut kerana keluarga berkenaan baharu mengadakan majlis hari jadi anak sulung mereka pada 10 Februari.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, proses bedah siasat masih berjalan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
"Kita belum boleh memperincikan tentang jumlah das tembakan pada mayat selagi bedah siasat masih berjalan, " katanya.
Sumber: Harian Metro
Bunuh Isteri Jenayah Malaysiakini BM polis diraja malaysia Sinar Harian Sinar Online