Alasan tak bersidang kerana 100 Ahli Parlimen berisiko dijangkiti COVID-19 - Takiyuddin

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:28 PG
MP PAS Takiyuddin Hassan jaga Parlimen - Foto Malaysia Dateline

Menteri Undang-undang Datuk Takiyuddin Hassan berkata, faktor utama sidang Parlimen ditangguhkan kerana 100 ahli Parlimen merupakan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata, daripada 220 ahli Parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 orang berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.

“Hampir sebahagian ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko, jadi kita tidak mahu mereka terdedah kepada Covid-19 sebab berada di ‘confined area’ iaitu sempit dan tertutup.

“Apabila Parlimen bersidang, seorang ahli Parlimen akan bawa tiga pegawai bayangkan berapa ramai di tempat itu dengan kakitangan awam lagi,” katanya dipetik Bernama.

Takiyuddin berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putarajaya, hari ini.

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan tindakan kerajaan menggunakan sains dan data sebagai alasan untuk tidak mengadakan sidang Dewan Rakyat ketika tempoh darurat sehingga 1 Ogos nanti.

Ahli Parlimen Pekan itu dalam catatan di Facebook berkata, sains dan data itu seolah-olah mendakwa bersidang dalam Dewan Rakyat lebih berbahaya berbanding banyak aktiviti lain yang dibenarkan kerajaan.

Beliau memberi contoh menonton wayang dalam pawagam, sekolah dibuka semula dan pasar malam dibenarkan beroperasi, selain “membuat mesyuarat persediaan PRU di hotel” atau majlis untuk menerima akuan bersumpah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz percaya punca kerajaan tidak mahu mengadakan sidang Parlimen kerana tidak mempunyai sokongan mencukupi.

“Saya percaya kerajaan mempunyai alasan politik tidak mahu Parlimen bersidang kerana mereka tidak stabil. Tetapi buat masa ini, kita tidak boleh mengadakan pilihan raya juga.

“Mereka (PN) tidak boleh lari daripada pilihan raya selepas darurat tamat pada Ogos. Mereka tidak boleh lari daripada Umno. Mereka perlu berdepan kami.” katanya dipetik FMT.

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim pula menyifatkan pengumuman Takiyuddin itu sebagai keputusan yang salah dan memberikan gambaran tidak baik terhadap kerajaan dan harus dibantah “sekeras-kerasnya.”

Katanya, jika kerajaan PN mempunyai sokongan mencukupi di Dewan Rakyat, tiada pihak yang mampu menjatuhkannya.

“Jadi, kenapa anda begitu takut untuk mengadakan sidang (Dewan Rakyat)?

“Ia tidak masuk akal,

“Satu hari nanti, kita akan kata kita tidak perlukan pilihan raya juga. Kemudian apa yang akan berlaku?” soalnya seperti dilapor FMT.

Katanya, ia juga akan menjadi petanda buruk untuk negara, jika kerajaan tidak mematuhi undang-undang, khasnya perlembagaan.