Nampak gaya Presiden Zahid takkan mahu menerima Tun Mahathhir kembali kepada Umno - Foto Malaysiakini |
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membayangkan Dr Mahathir Mohamad sedang mencari “perumah” lain setelah tidak dihiraukan oleh rakan daripada Pakatan Harapan (PH).
Mengulas kenyataan Mahathir yang sedia untuk kembali kepada Umno sekiranya parti itu kembali dasar awalnya untuk berjuang demi bangsa, negara dan agama, kata Zahid, syarat bekas perdana menteri itu hanyalah alasan dan dalih semata-mata.
“Saya fikir rakyat khususnya ahli Umno boleh menjangkakan punca sebenar mantan pengerusi PH dan Bersatu ini membuat pusingan U setajam itu.
“Ramai lihat beliau kini hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi perdana menteri ketujuh.
“Presiden Bersatu telah memecatnya. PH tidak lagi mempedulikannya. Kerajaan PN tidak luluskan pendaftaran parti baharunya (Pejuang). Makanya perlu cari 'perumah' lain atau setidak-tidaknya kembali kepada 'perumah lama' untuk terus mendapatkan manfaat 'nutrisi'.
“Rakyat juga tahu syarat yang ditetapkan beliau itu sekadar alasan. UMNO tidak pernah seinci berkalih daripada dasar perjuangannya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sedangkan, imbau Zahid, Mahathir pernah memberikan kenyataan-kenyataan yang bernada berbeza sebelum ini.
Dia memetik kenyataan Mahathir sebelum ini, antaranya, menyifatkan Umno sudah hancur dan tinggal nama, yang menolak kerajaan campuran dengan parti Umno, dan pengakuan Mahathir yang memintanya membubarkan Umno.
Zahid Hamidi Facebook: Siapa masih ingat kenyataan mantan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini?
“BN (Barisan Nasional) dah tak ada, dah ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun. Yang ada hanyalah UMNO itupun sekadar pada nama sahaja"
“UMNO dah hancur, banyak ahli minta nak masuk PH dan BERSATU (PPBM). Yang tinggal nak jalan pun tak larat dah"
[Tun Mahathir 21 Februari 2020]
"Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO. Tetapi UMNO sertai kerajaan campuran sebagai parti UMNO, ini tidak dapat diterima"
[Tun Mahathir 26 Februari 2020]
Siapa masih ingat juga Tun Mahathir pada 9 November 2019 mengaku menyuruh saya membubarkan UMNO kerana UMNO dianggap sudah tiada.
Tiba-tiba kelmarin Tun Mahathir buat 'U-turn' paling drastik menyatakan beliau masih sayang UMNO dan bersedia kembali kepada UMNO.
Tetapi kononnya dengan syarat UMNO perlu kembali berjuang untuk bangsa, negara dan agama.
Bagaimana agaknya perasaan penyokong dan pemimpin parti Pejuang lain mendengar kata-kata Tun Mahathir ini? Semoga tiada gua berhampiran mereka.
Saya fikir rakyat khususnya ahli UMNO boleh menjangkakan punca sebenar mantan Pengerusi PH dan PPBM ini membuat pusingan U setajam itu.
Ramai lihat beliau kini hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi PM ke-7.
Presiden PPBM telah memecatnya. PH tidak lagi mempedulikannya. Kerajaan PN tidak luluskan pendaftaran parti baharunya.
Makanya perlu cari 'perumah' lain atau setidak-tidaknya kembali kepada 'perumah lama' untuk terus mendapatkan manfaat 'nutrisi'.
Rakyat juga tahu syarat yang ditetapkan beliau itu sekadar alasan. UMNO tidak pernah seinci berkalih daripada dasar perjuangannya.
Ia cuma argumentasi atau dalih untuk menjustifikasikan kehendak kembali kepada parti keramat ini.
Atau juga ia strategi sama beliau pada PRU14 untuk memainkan sentimen rasa hormat ahli UMNO bagi menumbangkan kerajaan BN.
Sejarah 2018 membuktikan siapa yang sebenarnya tidak lagi berpegang kepada dasar bangsa, negara dan agama demi kepentingan politik kendiri.
Persoalan seterusnya yang menimbulkan tanda tanya besar siapakah rombongan demi rombongan yang datang minta beliau buat sesuatu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan UMNO ketika itu?
Dalam wawancara bersama Sinar Harian kelmarin, Mahathir mengakui yang dia masih sayangkan Umno, sementalahan pernah berpuluh tahun menjadi presiden parti itu.
Meskipun Dr Mahathir mengakui boleh kembali bersama Umno, dia juga menegaskan yang dia hanya akan bersetuju kembali sekiranya elemen negatif seperti rasuah dapat dibersihkan di dalam Umno.
“Saya boleh kembali kepada Umno. Tapi orang yang penyangak-penyangak apa semua, minta maaflah, saya tak boleh kerjasama dengan mereka,” tegas Mahathir kelmarin.
Zahid antara pemimpin Umno yang terpalit dengan tuduhan rasuah di mahkamah, selain tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, dan kini dalam proses perbicaraan.
Beberapa pemimpin Umno turut telah dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah atas beberapa kesalahan seperti penyelewengan atau rasuah, seperti bekas presiden Umno Najib Razak, Isa Samad dan Tengku Adnan Tengku Mansor.
Susulan kenyataan Mahathir itu, veteran Umno Yussuf Latiff mengusulkan agar Pengerusi Majlis Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah berunding dengan Dr Mahathir Mohamad dan mempelawa bekas presiden Umno itu kembali ke pangkuan parti.
Yussuf turut meminta pemimpin Umno agar berjiwa besar, memikirkan masa depan orang Melayu dan mengetepikan kepentingan diri dan jawatan mereka.