Bekas Ketua Srikandi PPBM, Anina Saadudin dipanggil polis bagi membantu siasatan berkaitan penyebaran video didakwa memfitnah Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sinar Harian melaporkan polis telah merekod keterangan Anina pada Khamis.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata, Anina hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada kira-kira jam 2.30 petang untuk tujuan itu.
“Ia bagi membantu siasatan berkaitan penyebaran video yang didakwa memfitnah Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berhubung pelanggaran SOP PKP,” katanya.
Berikutan penyebaran video lama itu, Setiausaha Menteri Pertahanan, Azlina Md Rosdy membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, pada Sabtu lalu.
Terdahulu, tular di Facebook satu rakaman video Ismail Sabri hadir ke satu majlis dan bersalaman dengan tetamu yang hadir.
Video itu menunjukkan beliau bersama beberapa orang lain tanpa memakai pelitup muka duduk bersama di meja jamuan dengan tidak menjaga penjarakan fizikal.
Siasatan portal FMT mendapati, video berkenaan adalah majlis pelancaran Tabung Pahlawan di Royal Chulan, di sini pada September tahun lalu.