Muhyiddin dalam perutusan khas PM berkenaan Covid-19 - Foto Astro Awani |
Kerajaan mahu meminda undang-undang bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih cepat dan tegas terhadap pelanggaran SOP pencegahan wabak Covid-19, termasuk jenis dan kadar hukuman.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya berkata antara hukuman yang diteliti Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat adalah penutupan serta-merta premis perniagaan, penjara, dan kadar denda yang lebih tinggi terhadap pesalah berulang.
“Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah meneliti peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) yang perlu dipinda untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan cepat diambil,” katanya dalam perutusan khas hari ini.
Turut dipertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais, dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan.
Rantaian pengurusan pekerja asing, meliputi majikan, dan ejen pembekal pekerja; kontraktor utama dan sub-kontraktor juga tidak akan terlepas.
Pindaan ini juga akan membolehkan tindakan tatatertib terhadap penjawat awam, termasuk ketua jabatan, berkaitan dasar bekerja dari rumah.