Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa masyarakat segera menjalani rawatan selepas disahkan menghidap kanser.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata, selain rawatan yang komprehensif, pengesanan awal serta tindakan mendapatkan rawatan dengan cepat dapat meningkatkan peluang kepada pesakit untuk sembuh.
"Apa jua penyakit, insya-ALLAH boleh dirawat dengan baik, sekiranya dikesan di peringkat awal dan dirawat dengan betul," katanya.
Beliau berkata, bagi mengelakkan kanser dikesan lewat, orang ramai turut dinasihati melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala.
Selaku bekas pesakit kanser, Muhyiddin berkata, beliau memahami keperitan dan kesukaran yang ditanggung dalam melawan penyakit itu.
"Alhamdulilah, saya bersyukur kepada ALLAH SWT setelah menjalani rawatan, saya telah disahkan pulih. Kata-kata perangsang dan dorongan keluarga menguatkan semangat saya untuk terus berjuang dan menghadapi penyakit ini," katanya.
Sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap 4 Februari, Muhyiddin mengajak seluruh masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal penyakit ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyuarakan kebimbangannya selepas kes kanser tahap tiga dan empat yang dikesan lewat merekodkan peningkatan.