SEREMBAN, 26 Feb -- Kebiasaannya tayar yang sudah tidak elok akan terus dibuang atau disimpan, namun berbeza bagi fasilitator, Zazali Iberahim yang menjadikan tayar terpakai itu sebagai sumber pendapatannya sejak setahun yang lepas.
Bukan untuk kegunaan pada motosikal atau diubah suai menjadi landskap halaman rumah, sebaliknya berbekalkan kreativitinya, tayar terpakai berkenaan direka bentuk sebagai arca menjadi pelbagai objek menarik termasuk koleksi haiwan, di kediamannya di Senawang dekat sini.
Menurut Zazali, 58, atau lebih mesra dipanggil ‘pak cik dinasour’ dalam kalangan kanak-kanak di situ, dia mendapatkan bekalan tayar motosikal atau kereta itu secara percuma di kedai-kedai tayar di sekitar Senawang.
“Saya terpaksa berhenti kerja selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lepas, jadi saya perlu cari pendapatan tambahan untuk menampung kehidupan saya, kebetulan saya lihat banyak tayar terpakai, ia memberi ilham kepada saya untuk menghasilkan arca.
“Sehingga kini saya telah menghasilkan lebih 50 arca yang kebanyakannya dibeli penduduk sekitar termasuk peniaga yang mahu meletakkan arca sebagai hiasan di premis mereka,” katanya kepada Bernama.
Zazali yang juga bekas tentera itu berkata hampir 80 peratus arca berkenaan merupakan idea kreatifnya sendiri manakala selebihnya direka bentuk atas permintaan pelanggan dan mengambil masa sehari hingga dua minggu untuk menghasilkannya.
Bapa kepada enam anak ini berkata dia memasarkan arca berkenaan di laman sosial Facebook selain ada rakan yang membantu menyebarkan jualannya kepada orang ramai.
Anak kelahiran Negeri Sembilan ini berkata arca berkenaan dijual pada harga sekitar RM10 hingga RM2,000 bergantung pada saiz arca berkenaan selain mampu memperoleh pendapatan mencecah RM3,000 sebulan.
Menurutnya, arca terbesar yang dihasilkannya termasuklah dinosaur, burung helang dan burung merak selain tempat hiasan bunga, kerusi dan sebagainya.
Dalam pada itu, Zazali berkata tayar terpakai yang diolah bukan sahaja boleh dijadikan hiasan dan sumber yang bernilai, malah apa yang lebih penting, mengitar semula bahan terbuang itu dapat memelihara alam sekitar.
-- BERNAMA
Harian Metro kakiseni Kisah Sedih mymetro Sekolah Sinar Harian Sinar Online