Rina selesai bayar hutang, elak diisytihar bangkrap

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3:14 PG
Datin Seri Rina Harun - Foto MalaysiaDateline

Selepas isu pembedahan untuk jadi kurus, sebutan Bahasa Inggeris yang tidak berapa tepat, kini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun hadapi isu lain seperti dilapor media iaitu 'kebankrapan' namun berjaya diselesaikan.

Rina dilapor berjaya menyelesaikan hutang bernilai ratusan jika tidak jutaan ringgit kepada syarikat produksi filem dan televisyen yang berpusat di Paris untuk mengelakkan beliau di isytiharkan bangkrap atau muflis.

Portal twentytwo13 melaporkan, saman muflis yang dikemukakan syarikat penerbitan Sarl Novovision terhadap Rina pada September 2020 juga dilaporkan telah digugurkan.

Portal tersebut melaporkan Rina hampir diberikan notis kebankrapan kerana dia berhutang Sarl Novovision RM1,340,642,02 setakat 17 Nov 2020.

Peguam Mark Ho, yang mewakili syarikat Perancis itu mengesahkan bahawa Rina telah menyelesaikan hutangnya minggu lalu, namun tidak menyatakan jumlah yang dibayar oleh Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

“Kami menerima cek pada hari Rabu dan diselesaikan pada hari Khamis.

“Pembayaran itu mengakhiri proses saman bankrap,” kata Ho.

Sebelum ini, Rina dikatakan membuat pembelian satu rancangan komedi dan dokumentari hampir 10 tahun yang lalu dari syarikat tersebut yang terkenal dengan tayangan video lucu, dan gagal membuat bayaran untuk kandungan berkenaan.

Syarikat berkenaan kemudiannya mengeluarkan beberapa notis kepada syarikat Rina yang kini sudah tidak berfungsi iaitu Eurofine (M) Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd dan Fine TV Network Sdn Bhd antara tahun 2011 hingga 2013.

Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh Malay Mail, pernyataan tuntutan terhadap Rina telah diajukan pada 8 November 2018 dengan harga AS$553,795 (RM2.3 juta) oleh syarikat produksi filem yang berpusat di Paris Sarl Novovision dan bahawa jumlah penuh mesti dibayar oleh 31 Julai 2019.

Datuk Seri Rina Harun dilapor Malaysiakini merancang untuk penyelesaian di luar mahkamah.