Mak Kah Keong kecewa beberapa orang Cina menghina Hadi Awang di media sosial - Foto Sinar Harian |
Setiausaha Agung parti Gerakan, Mak Kah Keong meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir masyarakat Cina yang melemparkan komen jijik terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Katanya, dia marah dengan kenyataan jelik itu yang tidak menggambarkan sikap dan budaya masyarakat Cina.
"Saya marah dalam kesedihan! Tuan Guru (Abdul Hadi) telah dirawat di IJN turut dilaporkan dalam media Cina.
"Setelah membaca komen-komen netizen yang mengguna bahasa Mandarin, saya berasa sangat marah dan sedih.
"Saya tak jangka, ada juga netizen (penyokong parti parti tertentu atau hasil hasutan parti parti tertentu) memberi komen yang sangat menjijikkan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dikejarkan ke Hospital Putrajaya setelah mengalami sesak nafas malam tadi.
Dia kemudiannya dipindahkan ke IJN kira-kira pada pukul 9.30 malam dengan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.
Mak turut memuat naik antara komen penghinaan terhadap Abdul Hadi antaranya: "Cantik, dia sangat mendekati pencipta dah", "Harap dia tak sampai Jumaat ini".
"Ini bukan budaya Tiong Hua dan budaya Malaysia! (kesopanan dan kesusilaan).
"Saya tak tahu nak cakap apa lagi , korang pergi tengok sendiri," katanya yang turut mendoakan Abdul Hadi agar kembali sihat.