BUKIT MERTAJAM – Seorang pembantu rumah warga Kemboja ditemui dengan pelbagai kesan kecederaan termasuk ditekap dengan seterika dipercayai didera majikan.
Portal MalaysiaGazette melaporkan kegiatan keji pasangan suami isteri itu terbongkar selepas wanita berusia 30-an itu diselamatkan pihak polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Perpaduan, Kampung Baru di sini semalam.
Serbuan pada jam 9.30 malam yang diketuai Inspektor Mohd Airedzuan Arifin dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah menemui mangsa dalam keadaan mengigil ketakutan selain dibiarkan tidur atas lantai.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, bertindak atas maklumat pihak polis menyerbu rumah tersebut sebelum memberkas pasangan suami isteri berusia 50-an dan 60-an.
Jelas beliau, ketika serbuan mangsa ditemui di atas lantai di dalam sebuah bilik di rumah tersebut dan pemeriksaan fizikal terhadap mangsa menemui beberapa kesan kecederaan baru dan lama.
“Terdapat kesan melecur pada lengan, kecederaan pada muka, kesan calar pada badan, kaki serta bekas jahitan luka.
“Selain itu, mangsa mendakwa didera isteri majikannya dengan cara memukul, simbah air panas dan dicubit,” katanya dipetik Malaysia Gazette hari ini.
Mangsa dipercayai turut dicederakan menggunakan seterika memandangkan ada kesan tekap pada lengan.
Siasatan lanjut polis mendapati mangsa sudah bekerja selama dua tahun sebagai pembantu rumah yang diuruskan oleh anak suspek.
Difahamkan, pasangan suami isteri tersebut menjaga cucu mereka di rumah berkenaan dan sudah tidak bekerja.
“Mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut,” kata Shafee.
Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Atipsom dan 44 Atipsom 2007.
Dera Free Malaysia Today Google News Tag Harian Metro Jenayah Malaysiakini BM polis diraja malaysia Sinar Harian