Pertama kali Polis kesan sindiket Macau Scam luar bandar, 17 ditahan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:25 PG
Polis Johor menumpaskan sebuah sindiket Macau Scam dan menahan 17 suspek yang beroperasi di sebuah rumah inap desa di Bandar Penawar, Kota Tinggi semalam.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay di lapor portal Berita Harian Online berkata, ini kali pertama pihaknya mengesan sindiket Macau Scam yang beroperasi di kawasan luar bandar.

Suspek yang ditahan termasuk dua wanita menyamar sebagai pegawai Pos Laju dan anggota polis. Mereka beroperasi dari rumah inap desa yang dijadikan pusat panggilan untuk memperdaya mangsa.

“Siasatan awal mendapati 17 suspek pada mulanya ditawarkan pekerjaan lain di media sosial dan hanya mengetahui pekerjaan sebenar selepas memasuki rumah yang dijadikan pusat panggilan sindiket Macau Scam berkenaan.

“(Mereka) bukan saja dikawal ketat sejak mula bekerja setahun lalu, malah segala pergerakan mereka dipantau rapi dan tidak dibenarkan keluar rumah.

“Segala keperluan termasuk makanan disediakan ketua sindiket yang masih bebas dan sedang dikesan,” katanya.

Beliau berkata, semua ahli sindiket berkenaan dibayar RM2,000 hingga RM7,000 sebulan.

Ini termasuk komisen antara 3% hingga 5% daripada jumlah wang mangsa yang berjaya diperdayakan.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, modus operandi ahli sindiket itu termasuk menyamar pegawai Pos Laju dan memperdayakan mangsa kononnya kiriman atas nama mangsa ditahan kerana mengandungi barang menyalahi undang-undang.

“Ahli sindiket juga menyamar sebagai pegawai polis kononnya mangsa boleh ditangkap dan akan dikenakan tindakan undang-undang, dengan penyamar seterusnya akan menawarkan ‘bantuan’ kepada mangsa untuk membuat laporan polis.

“Ahli sindiket kemudian menyamar pula sebagai pegawai penyiasat kes atau pegawai AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan) dan menawarkan diri untuk membantu mangsa menyelesaikan kes dengan meminta maklumat peribadi serta akaun perbankan mangsa sebelum mereka diminta membuat pindahan wang ke akaun bank diberikan ahli sindiket Macau Scam berkenaan.”

Beliau berkata, semua 17 suspek direman empat hari hingga Sabtu ini dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

KLIK BACA: Mengarut! - Agong mahu Wan Azizah jadi PM, Tun M jawab Tommy

KLIK BACAPendedahan PANAS Tommy dalam buku mengenai Sirul Azilah kaitkan Najib Altantuya

KLIK BACA: Siapa Lyiana Roslee isteri ahli politik yg boleh digantung edar ganja?