SEPANG: Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib pemandu bas ekspres membawa pesakit Covid-19 yang merempuh Plaza Tol UPM, Serdang, petang tadi.
Pemandu berusia 41 tahun yang cedera itu kemudiannya disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pemandu bas itu disahkan positif hasil ujian saringan ke atasnya, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Serdang kerana cedera dalam kemalangan terbabit.
Katanya, bas ekspres terbabit dalam perjalanan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0, sebelum terbabas dan merempuh pondok Plaza Tol UPM.
“Bas ekspres itu terbabas dan melanggar struktur Plaza Tol UPM menyebabkan kenderaan itu pecah cermin hadapan, bumper, pintu bahagian pemandu dan lain-lain kerosakan yang belum dapat dipastikan.
“Siasatan mendapati bas itu membawa pesakit Covid-19 dari kluster Changkat Jong ke MAEPS. Terdapat lapan bas lain yang turut membawa pesakit dengan 40 penumpang di dalamnya,” katanya seperti dilapor FMT.
Beliau berkata, pemandu bas itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke Plaza Tol UPM di lorong Touch & Go.
“Pemandu bersama lapan penumpang mengalami kecederaan ringan dan sudah dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu mengalami luka di kaki,” katanya yang memaklumkan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, media melaporkan kemalangan berlaku kira-kira 3 petang itu dan enam penumpang bas yang cedera ringan dibawa ke MAEPS untuk rawatan lanjut.