Kerajaan PN dibentuk hanya lebih satu undi MP, dedah Zahid

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:43 PTG
Zahid Hamidi dedah pembentukan kerajaan PN dan kefahamannya berkenaan buku Tommy Thomas - Foto MalaysiaDateline

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pemimpin tertinggi parti yang membentuk kerajaan sepatutnya mestilah menjadi sebahagian daripada pucuk pimpinan kerajaan.

Beliau berkata, ini kerana parti politik yang dipimpinnya itu mendokong kerajaan.

“(Tetapi) apabila lemparan tuduhan yang sengaja direka oleh pemimpin sebelum itu dan diteruskan pemimpin yang ada sekarang saya harus menghadapi perkara ini.

“Biarlah saya mahu membersihkan nama saya dan tentunya tuduhan ini adalah tuduhan politik,” katanya menerusi satu wawancara hati ke hati bersama Presiden UMNO yang disiarkan di Malaysiapost pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beliau yang berjawatan Presiden UMNO tetapi tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan.

Dakwa Ahmad Zahid, sekiranya membaca buku tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas ‘My Story: Justice in The Wilderness’, jelas memperlihatkan bahawa pertuduhan yang dikenakan adalah direka untuk mengaib dan meruntuhkan bukan sahaja individu tetapi organisasi atau parti politik yang diketuainya.

“Itu jelas. Walaupun tidak disebut secara nyata, tetapi ianya tersirat dalam tulisannya. Kalau saya salah, sila buat laporan polis dan sila siasat saya,” katanya dalam wawancara Malaysiapost yang dipetik Sinar Online.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanyalah berdasarkan jumlah majoriti satu undi sahaja.

Presiden UMNO itu berkata, ketika pembentukannya, kerajaan PN hanya didokong seramai 113 orang ahli Parlimen.

Menurutnya, untuk membentuk kerajaan, ia memerlukan sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen.

“Ertinya kelebihan satu kerusi manakala seorang ahli Parlimen daripada UMNO iaitu ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak pernah menandatangani sebarang akujanji untuk memberikan sokongan kepada Perdana Menteri sekarang,” katanya menerusi satu wawancara hati ke hati bersama Presiden UMNO yang disiarkan di Malaysiapost pada Ahad.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan, dalam pembentukan itu juga, seramai 43 ahli Parlimen dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta 18 ahli Parlimen Pas telah sepakat untuk mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri.

“(Ini) disertai oleh penghijrah-penghijrah politik seramai 15 orang daripada UMNO serta muhajirin daripada sebuah parti yang dahulunya dalam PH yang akhirnya dengan dokongan 61 ahli Parlimen dari Muafakat Nasional telah dapat membentuk kerajaan ada sekarang ini,” katanya.

Ahmad Zahid menyatakan rakyat seharusnya mengetahui bagaimana pengorbanan UMNO dan BN dalam mewujudkan kerajaan yang ada sekarang ini.

Ahmad Zahid turut mengulas mengenai kenyataan dibuat sesetengah pihak bahawa UMNO dan BN seharusnya bersyukur dan berterima kasih dengan penyertaan parti itu di dalam kerajaan yang ada sekarang.

“Dengan 43 sokongan ini tentunya kita harus mengetahui siapa yang patut bersyukur, siapa yang patut berterima kasih dengan pembentukan kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Sumber: Artikel penuh di Sinar Harian