Muhyiddin perlu segera junjung titah Agong, panggil sidang Parlimen seawal Mac ini

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:01 PG

Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera menjunjung titah dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen seawal Mac ini.

PH berkata, ketika pihak Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi sewaktu darurat berkuatkuasa, Parlimen juga perlu terus memainkan peranan dalam memastikan urustadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong di atas pandangan yang dizahirkan hari ini bahawasanya Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

“Oleh itu, kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia.

“Isu-isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik Covid-19 akan diketengahkan, serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng

Sebentar tadi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa namun pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan Istana Negara.

“Dalam sesi menghadap ini, Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak eksekutif, kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut,” katanya.

Sumber: MalaysiaDateline