Perdana Menteri Muhyiddin Yassin penerima pertama vaksin Covid-19 - Foto Bernama |
oleh Rayusa
Di sebalik nada ucapannya yang lembut dalam setiap perutusan dan kebolehan berdoa, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengecewakan. Kali ini, beliau tidak berpegang pada janjinya pula dalam hal pemberian vaksin COVID-19.
Dengan mengumumkan bahawa semua ahli Parlimen dan Adun tanpa mengira blok menjadi antara penerima pertama vaksin, Muhyiddin mengetuai Kerajaan PN pimpinannya melanggar tiga fasa Program Vaksinasi Kebangsaan (NVP).
Mengikut ketetapan sebelum ini, Fasa 1 diperuntuk kepada barisan hadapan dan pekerja kesihatan perubatan yang bekerja di persekitaran berisiko tinggi, Fasa 2 untuk golongan yang rentan, orang tua berusia 65 tahun ke atas dan mereka yang ada masalah kesihatan, dan Fasa 3 untuk populasi dewasa yang berumur 18 tahun ke atas.
Walaupun beliau termasuk dalam senarai antara penerima pertama, tetapi pelanggaran tersebut dibidas oleh Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.
Dalam reaksinya pada 17 Februari lalu, wakil rakyat dari PKR itu menggambarkan alasan Muhyiddin tersebut ‘mengarut’, dan mengecamnya sebagai ‘tidak beretika, tidak senonoh dan sangat-sangat salah’.
Meskipun bersetuju pegawai kanan kerajaan seperti Perdana Menteri (PM), Menteri Kesihatan, Ketua Menteri, malah ketua pembangkang Parlimen diutamakan menerima vaksin – untuk mencegah risiko gangguan besar dalam mentadbir negara ketika krisis kesihatan akibat COVID-19 – tetapi Gooi mempertikai mengapa semua wakil rakyat tanpa mengira usia atau status kesihatan mereka diberi layanan istimewa.
Tanpa mengira wakil rakyat Kerajaan PN atau pembangkang-PH boleh disifatkan sebagai kenyataan umum. Bukan semua wakil rakyat sebaya, dan sihat sejahtera.
Oleh kerana itulah mantan Ahli Parlimen Alor Setar tersebut menganggap jika sedemikian niat Kerajaan PN untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap vaksin dan mengikuti protokol rasmi, tidakkah Yang di-Pertuan Agong (YdPA), Raja dan Sultan patut diberikan vaksin terlebih dahulu sebelum PM.
Berdasarkan tiga fasa itu, memang tidak kelihatan YdPA, Raja dan Sultan negeri-negeri sebagai penerima vaksin. Namun demikian, mereka boleh dianggap berada dalam Fasa 3, iaitu populasi dewasa yang berumur 18 tahun ke atas.
Gooi mendakwa keputusan Muhyiddin memberikan vaksin awal kepada ahli Parlimen dan Adun terlebih dahulu sebagai antipromosi, atau membunuh keyakinan masyarakat terhadap NVP.
Tambah Gooi, alasan Muhyiddin bahawa wakil rakyat sering harus bertemu dengan rakyat pada peringkat akar umbi, dan oleh itu berhak mendapat rawatan khas, serta perlindungan vaksin terlebih dahulu, tidak mantap.
Memang tidak dinafikan pekerja runcit dan pemandu bas, misalnya, turut bersemuka dengan orang ramai setiap hari, tetapi harus menunggu giliran untuk diberikan vaksin.
Pendapat Gooi dalam hal golongan pekerja sedemikian ada benarnya. Justeru, tidak keterlaluan Gooi bertanya apakah PM menganggap nyawa mereka tidak begitu penting, berbanding ahli politik yang dapat memotong barisan untuk vaksinasi.
Meskipun ada yang melanggar SOP, tetapi saya yakin wakil rakyat secara umumnya sedia dan mampu patuh.
Gooi memperkuat hujahnya yang sekali gus mahu mempamerkan teladan murni wakil rakyat PH, apabila mengatakan sebagai wakil rakyat, beliau dan rakan sejawat masih dapat memikul tanggungjawab harian seperti orang lain dengan mematuhi SOP.
Sebagaimana peringatan Gooi, keutamaan sekarang ialah mendapatkan bekalan vaksin, serta menyerahkan kepada doktor dan jururawat yang mempertaruh nyawa mereka.
Oleh yang demikian, wajarlah jika Gooi akhirnya meminta Muhyiddin mengkaji semula keputusan yang diumumkan pada 17 Februari lalu itu.
Sementara itu, Jawatankuasa Vaksinasi COVID-19 PH menggesa Kerajaan PN mengutamakan warga emas, terutamanya penghuni rumah penjagaan warga emas, dengan memasukkan mereka ke dalam Fasa 1 NVP.
Dalam satu kenyataan bersama pada 18 Februari lalu, jawatankuasa itu mengatakan langkah tersebut perlu dilaksanakan oleh kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk memasukkan rumah penjagaan warga emas yang berdaftar, dan tidak berdaftar dalam Fasa 1 program tersebut.
Nampak seperti turut melanggar ketetapan fasa berkenaan. Walau bagaimanapun, itu hanya menambah baik, yang mementingkan kebajikan warga emas tanpa keluarga seperti anak.
JKJAV diketuai Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba, serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Jawatankuasa itu menegaskan risiko kematian bagi warga rumah penjagaan warga emas amat tinggi. Warga emas yang tinggal di rumah jagaan sangat rentan, bukan hanya kerana keadaan kesihatan mereka, tetapi juga akibat keadaan hidup mereka yang sesak.
Dari satu segi, itu positif dan kita perlu bersangka baik walaupun ada yang berpendapat Kerajaan PN cuba menunjukkan ia juga matang.
Namun demikian, kehadiran sembilan wakil rakyat PH dalam jawatankuasa tersebut amat wajar dialu-alukan, dan disyukuri.
Tegas Jawatankuasa Vaksinasi COVID-19 PH itu, satu langkah proaktif diperlukan untuk melindungi bukan sahaja kesihatan warga emas, tetapi juga pekerja yang menjaga mereka.
Memang ada logiknya gesaan itu kerana yang menjaga perlu sihat terlebih dahulu sebelum menjaga orang lain, terutama orang tua sebatang kara.
Wakil-wakil rakyat PH tersebut ialah Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor-Amanah), Dr Lee Boon Chye (Gopeng-PKR), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching-DAP), Datuk Wira Dr Hatta Ramli (Lumut-Amanah), Sim Tze Tzin (Bayan Baru-PKR), Dr Ong Kian Ming (Bangi-DAP), Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kesihatan Selangor-Adun Seri Serdang-Amanah), Dr Norlela (Exco Kesihatan Pulau Pinang-Adun Penanti-PKR), dan S Veerapan (Exco Kesihatan Negeri Sembilan-Adun Repah-DAP).
Tambah kenyataan bersama itu, NVP dan melindungi mereka yang berada di rumah jagaan warga emas dalam Fasa 1 dijangka dapat menurunkan angka rawat inap, terutama bagi mereka yang dirawat dengan gejala yang lebih teruk.
Ia juga akan mengurangkan kadar kematian keseluruhan, serta akan mengurangkan beban hospital dan barisan hadapan kita.
Fasa 1 NVP akan berlangsung sehingga April, sementara Fasa 2 akan diadakan dari April hingga Ogos, dan melibatkan 9.4 juta orang yang diklasifikasikan sebagai kumpulan berisiko tinggi.
Kumpulan ini termasuk golongan yang berbeza, mereka yang berumur 60 tahun ke atas, serta ada komorbiditi seperti penyakit jantung, diabetes, dan tekanan darah tinggi.
Fasa 3 NVP pula akan berlangsung dari Mei hingga Februari 2022 untuk semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air. Tulisan beliau tak semestinya mewakili pandangan MalaysiaStylo.
*Artikel ini pertama kali disiarkan di portal MalaysiaDateline.
Bersatu Covid-19 Free Malaysia Today malaysiakini Malaysiakini BM Pakatan Harapan Politik PRU15 Sinar Harian Sinar Online