Minum alkohol dalam premis, beli nombor boleh, hadir Parlimen tak boleh bahaya Covid, sindir Najib

Ana Ghoib Syeikh Malaya 12:13 PG
Najib diyakini tidak sabar parlimen bersidang kerana yakin Muhyiddin akan ditumbangkan susulan beberapa MP Umno tidak lagi menyokong Presiden Bersatu itu. - Foto ViddyMedia

Bekas perdana menteri Najib Razak, mengulas peraturan sekatan pergerakan Covid-19 kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkannya “lain daripada yang lain”.

Najib mengulas melalui Facebook beliau berkenaan penjelasan polis Kuala Lumpur yang alkohol boleh disajikan di premis berlesen.

Sebelum ini, pemilik restoran dan bar di kawasan Telawi yang terkenal di Bangsar mengadu peraturan membingungkan mengenai penjualan alkohol selepas serbuan polis dijalankan.

Najib berkata, berdasarkan peraturan itu, kerajaan sebenarnya tidak melarang penjualan alkohol dan hanya pub dan kelab malam boleh beroperasi.

“Namun, kebanyakan pub dan kelab malam ada kedua-dua lesen alkohol dan restoran. Ini bermakna premis-premis tersebut dibenarkan beroperasi untuk menjual alkohol.

“Cuma pub dan kelab malam tidak boleh membuka kaunter bar mereka dan hanya menggunakan khidmat pelayan restoran mengambil pesanan.

“’Lockdown’ Covid di Malaysia agak lain daripada yang lain, boleh beli 4D, boleh pergi pasar malam, boleh minum alkohol dalam premis, boleh memancing....

...boleh gunting rambut, boleh kunjung taman awam, boleh ke ‘beauty salon’, murid-murid boleh hadir ke sekolah, boleh berjudi dalam kasino.

“Tetapi Ahli Parlimen tidak boleh hadir Parlimen sebab bahaya Covid.” tulis Najib seperti dilapor portal FMT.

Untuk makluman, beberapa sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, namun Parlimen masih digantung bawah keadaan darurat.