"Malu apa Abahku, motto kerajaan PN" bila 80 MP Asean utus surat gesa sidang Parlimen

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:47 PG
Datuk A Kadir Jasin tokoh wartawan negara mengulas surat 80 MP Asean gesa benar sidang parlimen yang terhalang kerana Darurat - Foto TTF

"Adalah memalukan apabila Malaysia, di bawah pemerintahan Kerajaan Melayu-Islam PN, “dipariakan” oleh Ahli-ahli Parlimen negara jiran yang dulunya diktator dan oleh negara-negara kecil macam Singapura dan Timor-Leste." - Kadir Jasin

Demikian kata tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin berikutan surat 80 Ahli Parlimen dan bekas Ahli Parlimen dari negara-negara demokrasi Asean telah menghantar surat menggesa agar Parlimen Malaysia dibenarkan bersidang semula.

Kadir bagaimanapun yakin, tidak ada apa yang hendak dimalukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang kerana mereka mempunyai motto tersendiri.

“Tapi nampaknya di Malaysia sekarang mottonya adalah malu apa abahku,” kata Kadir dalam tulisannya menerusi Facebook yang dipetik portal MalaysiaDateline.

"Malaysiakini melaporkan hari ini lebih 80 Ahli Parlimen dan bekas Ahli Parlimen dari negara-negara demokrasi Asean telah menghantar surat menggesa agar Parlimen Malaysia dibenarkan bersidang semula.

"Surat itu ditujukan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

"Sumber-sumber berita menyebut enam negara demokrasi Asean yang terlibat adalah Indonesia, Filipina, Thailand, Kemboja, Singapura dan Timor-Leste.

“Dalam jangkaan saya, Vietnam dan Laos mustahil terbabit kerana mereka bukan negara demokrasi. Mereka adalah negara Komunis satu parti.

“Burma (Myanmar) pun pasti tidak pasti tapi Brunei pun bukan negara demokrasi. Ia adalah negara raja berkuasa mutlak (absolute monarchy),” kata Kadir di Facebook beliau seperti dilapor portal MalaysiaDateline.