KOTA BHARU: Seorang warga emas ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia, dalam keadaan tersangkut pada ketinggian kira-kira 8m di dahan pokok semarak berhampiran rumahnya di Tanjung Mas di Pengkalan Chepa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa Rusli Muhammad berkata, Zakaria Adam, 62, ditemui terkulai di dahan pokok itu selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.40 pagi.
“Sebaik menerima panggilan, sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera digegaskan ke lokasi sebelum tiba lapan minit kemudian. Kami dimaklumkan mangsa yang mengambil upah menebang pokok tersebut, pengsan dan tersangkut pada dahan pokok.
“Sebaik diturunkan anggota bertindak memberikan rawatan awal namun didapati tiada tindak balas. Sepasukan kakitangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang membuat pemeriksaan di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Abd Rahim Daud ketika dihubungi, mengesahkan kejadian. - Bernama