KOTA KINABALU: Seorang lelaki melarikan diri meninggalkan teman wanitanya setelah gagal melepasi sekatan jalan raya polis di daerah Beaufort, barat daya Sabah semalam.
Lelaki berusia 23 tahun itu, bersama-sama teman wanitanya berusia 21 tahun, menghampiri sekatan jalan raya di Jalan Lumatai, Beaufort-Sipitang dengan menaiki motosikal pada 7.50 pagi, dan diarah berhenti untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Beaufort Azmir Abd Razak berkata, lelaki itu tiba-tiba memecut ke arah sekatan jalan raya tersebut dan melanggar salah seorang anggota polis yang bertugas.
Anggota polis itu cedera ringan di tangan dan mendapat rawatan pesakit luar di hospital daerah.
“Penunggang itu dan teman wanitanya juga tercampak daripada motosikal. Namun, lelaki itu cepat-cepat bangun dan berlari ke arah kawasan semak di pinggir jalan sebelum menghilangkan diri, meninggalkan teman wanitanya,” kata Azmir kepada FMT.
Azmir berkata, polis berjaya mengesan suspek yang diburu di Jalan Kompleks Sukan Beaufort pada jam 9 malam hari yang sama.
“Lelaki itu didapati tidak memiliki lesen menunggang dan juga mempunyai rekod jenayah yang melibatkan dadah dan kecurian kereta,” katanya.
Tambahnya, teman wanita lelaki itu juga ditahan lebih awal untuk membantu siasatan.
Jenayah Kahwin Malaysiakini BM mymetro polis diraja malaysia Sinar Online