Lelaki dakwa dipukul polis berpakaian biasa kerana disangka Tonto

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:41 PTG
Seorang lelaki mendakwa diserang anggota polis berpakaian biasa berulang kali dalam kejadian pada pagi 24 Jan lalu.

Lim Xiang Hui, 20 mendakwa dia dipukul menggunakan tangan dan kaki di tepi jalan di Muadzam Shah, Pahang.

"Perbuatan ini dilakukan sehingga mengakibatkan saya mengalami kecederaan lebam dan bengkak di bahagian mata, kaki, belakang dan kepala," menurut laporan polis yang dilihat oleh Malaysiakini.

Peguam Lim, Aminahtul Mardiah memberitahu Malaysiakini bahawa sepucuk surat telah dihantar kepada Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Zamri Yahya berhubung perkara itu.

Dalam surat berkenaan, Aminathul berkata anak guamnya memandu sendirian sekitar jam 2 pagi ketika melihat sebuah Perodua Myvi mengekorinya.

"Semasa anak guam kami ingin membuat satu pusingan U di Jalan Muadzam, kereta Myvi tersebut telah memotong di arah kiri kereta anak guam kami dan pemandu telah melepaskan tembakan.

"Mereka memperkenalkan diri sebagai anggota polis lalu menarik anak guam kami keluar daripada kereta dan telah menggari anak guam kami. Pada waktu itu mereka memukul anak guam kami bertubi-tubi.

"Mereka juga telah menarik anak guam kami secara paksa masuk ke dalam kereta Myvi yang dinaiki oleh mereka. Mereka juga telah menyambung memukul anak guam kami menggunakan tangan ketika di dalam kereta mereka sambil bertanya anak guam kami "mana lori?"" katanya.

Menurut Aminathul, anak guamnya tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh anggota polis terbabit, namun mereka tidak percaya dan terus memukulnya.

Selepas itu anggota polis terbabit menahan tiga buah lori yang melalui jalan itu dan telah menggari pemandu lori ketiga.

"Selepas polis memeriksa lori tersebut dan tidak menjumpai apa-apa, polis menyuruh anak guam kami berdua berdiri lantas membuka gari serta melepaskan pemandu lori tersebut.

"Semasa anak guam kami sedang berdiri, pegawai yang memegang pistol telah menendang muka anak guam kami," menurut surat berkenaan.

Aminahtrul mendakwa anggota polis terbabit kemudian membawa anak guamnya ke arah Rompin di mana dia sekali lagi dipukul dan ditanya soalan yang sama, sebelum dibawa ke balai polis Muadzam Shah.

Di situ anak guamnya diberitahu bahawa dia disyaki terlibat sebagai "tonto" bagi satu sindiket penyeludupan rokok.

Pada 27 Januari, Lim didakwa di Mahkamah Majistret Rompin kerana menghalang tugas penjawat awam dan memandu secara melulu.

Malaysiakini sedang menghubungi Zamri untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Abdul Jalil Hassan berkata, polis sedang menyiasat laporan Lim di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Abdul Jalil berkata, pegawai polis yang menahan Lim adalah dari Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (JKDNKA) Bukit Aman.

"Siasatan dapati pengadu telah ditahan pada 24 Jan oleh sepasukan polis dari JKDNKA Bukit Aman.

"Dia dipercayai menjadi "tonto” dengan cuba menghalang kenderaan pihak polis yang sedang mengejar lori disyaki membawa muatan barangan seludup di kawasan Jalan Muadzam Shah," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan rokok seludup meliputi sekitar 65 peratus produk tembakau yang dijual di Malaysia.

Sumber mengatakan sindiket sanggup membayar antara RM100,000 hingga RM110,000 bagi setiap kontena sepanjang 40 kaki yang berjaya memasuki pasaran Malaysia.

Rasuah melibatkan penguatkuasa juga dikatakan antara punca mengakibatkan kerajaan rugi lebih daripada RM5 bilion setiap tahun. - Sumber asal pautan: Malaysiakini

KLIK BACA: Nazir kesal Tommy dakwa pemuda melayu bawa parang keris punca 13 Mei