Kastam tumpas sindiket seludup Air Zam-Zam, 25,000 liter dirampas

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3:26 PG

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan tiga sindiket penyeludupan melibatkan air zam zam, tembakau dan rokok putih di dua lokasi iaitu Pelabuhan Klang dan Shah Alam pada 27 hingga 29 Jan lepas oleh pasukan bahagian penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II Selangor.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata cubaan menyeludup dagangan yang disyaki air zam zam dengan menggunakan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Klang berjaya dilumpuhkan pada 27 Jan.

Beliau berkata air zam zam diklasifikasi sebagai dagangan terlarang dan hasil pemeriksaan ke atas kontena itu mendapati ia telah diikrarkan bermuatan 'personal effect' dalam borang kastam bagi tujuan import.

"Kuantiti rampasan dianggarkan sebanyak 25,000 liter bernilai RM187,500 dengan jumlah cukai sebanyak RM48,750," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Latif berkata pengimport dan ejen penghantaran yang disyaki terlibat dalam pengimportan air zam zam sedang disiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika disabit bersalah, hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 yang mana lebih besar atau tidak lebih daripada 20 kali nilai barangan atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 40 kali ganda nilai barangan atau RM1 juta yang mana lebih besar atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

KLIK BACA: Siapa Lyiana Roslee isteri ahli politik yg boleh digantung edar ganja?

BACA LANJUTTommy dedah siapa Mahathir fakta mengejutkan - Dr Kamarul