Kanak-kanak lelaki maut dipukul teman lelaki ibu

Ana Ghoib Syeikh Malaya 10:38 PG
Terdapat kesan kecederaan di bahagian kemaluan mangsa dan lebam di beberapa bahagian badan menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan. - Foto Astro AWANI

KAJANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui maut selepas dipukul teman lelaki ibunya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan tersebut daripada Jabatan Kecemasan Hospital Kajang sekitar jam 1.20 tengah hari Khamis.

“Mangsa dikejarkan ke hospital bersama ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pihak hospital memaklumkan mangsa telah meninggal dunia selepas menemui kesan kecederaan di bahagian kemaluan mangsa dan kesan lebam di beberapa bahagian badan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohd Zaid, hasil pemeriksaan polis mendapati mangsa telah didera di sebuah apartmen di Eco Majestic, Semenyih.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan suspek tanpa disedari ibunya sebelum mereka bergegas ke hospital.

Bagaimanapun polis telah menahan ibu mangsa berusia 31 tahun itu serta teman lelakinya yang berusia 28 tahun pada jam 5.45 petang Khamis.

Kedua-dua mereka direman salama enam hari bagi tujuan siasatan.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.